Yasser Arafat Tetap Di Hati Palestin Walau Sudah Lama Meninggal Dunia

Gambar bekas pemimpin Palestin, Yasser Arafat dapat dilihat di mana-mana di kem pelarian ini.

Dari portret gergasinya di Dataran Arafat hinggalah dinding-dinding kediaman, gambar lelaki yang menjadi simbol perjuangan rakyat Palestin boleh dikatakan antara harta paling penting setiap keluarga.

Perkara itu diakui Ahmed Massud, 90, yang lari dari rumahnya ketika Hari Nakba (hari kecelakaan) yang disambut selepas Israel ditubuhkan pada 1948.

"Arafat adalah bapa perjuangan Palestin. Dia yang menaikkan nama kami dan memperjuangkan hak pelarian.

"Saya amat kagum kerana dia tokoh kebangsaan dan tokoh sejarah. Dia sentiasa di dalam hati kami," katanya sambil menunjukkan gambarnya ketika muda bersama Yasser.


Dia juga memiliki banyak gambar Yasser yang lain dan menceritakan kesanggupannya menyambut kepulangan tokohnya itu ketika Abu Ammar-gelaran mesra rakyat kepadanya-kembali ke Tebing Barat pada 1994.

Cucunya Jamal hanya berusia enam tahun ketika Yasser meninggal dunia pada 11 November 2005 di Paris. Dia yang kini berusia 16 tahun juga menganggap bekas pemimpin itu sebagai simbol Palestin.

"Jika tidak kerana Yasser, penindasan terhadap kami tidak akan diketahui masyarakat dunia, malah dia tidak pernah melupakan perjuangannya mahu membebaskan kami dan membina negara Palestin," katanya.


Sementara itu, kakitangan Pihak Berkuasa Palestin (PA) Kamal Dweik mengakui gambar-gambar Yasser yang disimpan penduduk walaupun 10 tahun selepas kematiannya sering menimbulkan kemarahan tentera Israel kerana dianggap menyindir mereka.

"Jika mereka menyerbu rumah dan menemui gambar pemiliknya bergambar dengan Yasser, pasti gambar itu dikoyak dan dipijak manakala si tuan rumah dibelasah teruk.

"Mereka menganggap gambar itu menyampaikan mesej Yasser masih hidup dalam hati kami jadi terima sajalah hakikat itu, katanya.


Kamal sendiri juga memiliki gambar bersama Yasser yang diambil pada 2000, namun semuanya disorok rapi supaya tidak mungkin ditemui jika tentera Israel melakukan serbuan di kem itu yang menjadi tempat perlindungan 13,000 pelarian dari 35 bandar serta kampung yang sudah tidak wujud lagi.

Sementara itu, rakannya Jihad Nakhleh, bekas wartawan yang kini membuka kedai gambar di kem itu berkata Yasser terkenal dengan karisma yang tinggi menyebabkan semua orang mahu bergambar dengannya.

"Saya rasa tidak ada satupun presiden di dunia yang mengambil sebegitu banyak gambar bersama rakyatnya seperti dilakukan Yasser.

"Mereka yang menentangnya pun mempunyai gambar bersamanya!" katanya.-AFP