Yuran Maktab Mahmud Kekal, Tidak Dinaikkan

ALOR SETAR - Kerajaan negeri Kedah tidak bercadang untuk menaikkan yuran pengajian di 10 daripada 12 Maktab Mahmud yang telah didaftarkan sebagai Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK).

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengangkutan dan Kerja Raya Negeri, Datuk Tajul Urus Mat Zain berkata, kadar semasa yang dikenakan bagi setiap pelajar ialah RM71 tidak termasuk RM20 sebagai bayaran majalah sekolah.

"Skim insurans perlindungan pelajar sebanyak RM1.50 juga masih dikenakan ke atas pelajar (di Alor Setar dan Yan sahaja)," katanya menjawab soalan lisan Ahmad Yahaya (PAS-Alor Mengkudu) pada persidangan Dewan Undangan Negeri hari ini.

Beliau berkata, bagi yuran peperiksaan percubaan Tingkatan 3 dan Tingkatan 5, ia dikenakan sebanyak RM15 kepada setiap pelajar di seluruh negeri ini.

Menjawab soalan tambahan Ahmad, beliau berkata banyak nilai tambah akan dinikmati warga Maktab Mahmud setelah menjadi SABK, antaranya ia dapat memantapkan lagi fasiliti di 10 sekolah berkenaan di samping dapat menjimatkan perbelanjaan kerajaan negeri.

"Banyak penjimatan yang boleh dibuat dari segi pentadbiran. Kerajaan juga boleh beri peruntukkan kepada sekolah yang perlu dinaik taraf. Selain itu, seperti sekolah biasa, kita ada anugerah sekolah kluster yang dapat memberi ganjaran kepada pengetua yang cemerlang," kata Tajul Urus. - BERNAMA