Pelakon dan pelawak, Zizan Razak enggan memberi sebarang kenyataan berkaitan isu dia disaman RM500,000 oleh bekas rakan kongsi, Marina Juki dan menyerahkannya kepada peguam.
Zizan ketika ditemui berkata, peguamnya menasihatkan dia supaya tidak bertemu Marina buat sementara waktu ini.
"Saya hanya mengikut apa yang perlu kerana saya yakin selaku peguam mereka lebih tahu apa yang perlu dilakukan," katanya selepas ditemui pada sidang media AIM21 sebentar tadi.
Zizan berkata, meskipun kadang-kadang tertekan dengan masalah yang dihadapi dia harus profesional terhadap kerja dan amanah yang diberikan kepadanya dalam melakukan tugas antaranya sebagai peserta Maharaja Lawak Mega 2014 dan dalam masa yang sama membuat latihan untuk mengacarakan AIM21.
"Kadang kala terfikir juga masalah ini namun saya harus bersikap profesional dan tidak membawanya ke tempat kerja," katanya.
Akhbar sebelum ini melaporkan Marina memfailkan saman terhadap Zizan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 6 November lalu dan menuntut ganti rugi lebih RM500,000.
Saman berkenaan difailkan selepas Marina yang juga Pengarah Urusan Wire Fame Entertainment Sdn Bhd mendapati Zizan selaku rakan kongsinya melanggar syarat kontrak apabila dia bekerjasama dengan syarikat lain sedangkan perjanjian pelawak itu dengan syarikat berkenaan masih belum tamat yang mana ia berakhir pada 5 Mei 2015.
Plaintif turut memohon injunksi bagi menghalang defendan daripada meneruskan kontrak dengan syarikat pengurusan baru memandangkan dia masih lagi mempunyai kontrak yang sah bersama plaintif. -myMetro