BARU-baru ini beberapa jalan utama di sekitar ibu kota Kuala Lumpur
telah ditukar namanya bagi memberi penghormatan kepada Yang Dipertuan
Agong yang pernah menerajui negara sebelum ini.
Langkah ini disambut baik keseluruhan rakyat Malaysia dan pihak Dewan
Bandaraya Kuala Lumpur juga telah memulakan projek menukar papan tanda
jalan yang terlibat dengan penjenamaan baharu itu.
Namun, jangan tak tahu rupa-rupanya negara kita ini juga kaya dengan pelbagai tempat yang pelik dan unik.
Kebanyakannya terletak di kawasan luar bandar dan memang sudah lama wujud sejak beberapa dekad lalu.
Jom semak senarai nama unik ini bagi menambahkan lagi pengetahuan am anda!
1. Kampung Bogel, Terengganu
- Walaupun Kampung Bogel dekat Kampung La, Hulu Besut telah bertukar
nama dengan panggilan Kampung Beliku sejak 20 tahun lalu, tetapi
penduduk sekitar masih senang memanggil dengan panggilan lamanya.
2. Desa Temu Jodoh, Johor
- Tempat ini dikatakan mendapat nama sempena majlis perkahwinan
secara serentak membabitkan 24 pasangan suami isteri yang kebanyakannya
peserta Rancangan Tanah Muda kelolaan kerajaan negeri Johor. Perkampung
ini dibuka kira-kira 30 tahun lalu dan ia dulu dikenali sebagai
Rancangan Tanah Pemuda Kampung Sungai Lenek yang terletak 60 kilometer
(km) dari bandar Segamat dan 20 km dari daerah Yong Peng.
3. Kampung Imam Lapar, Terengganu
- Ada sebuah kisah menceritakan, terdapat dua orang pedagang ke surau
yang terletak di tepi tebing pengkalan berkenaan dan mendapati imam
sedang khusyuk menghafaz Al-Quran. Kemungkinan peristiwa itu diceritakan
oleh pedagang itu kepada orang lain bahawa dia memberitahu imam, lapar,
tetapi imam itu terus ‘laper’ (menghafaz) bacaan Al-Qurannya.
4. Kampung Baru Jumpa, Sabah
- Kampung Baru Jumpa terletak kira-kira 25 kilometer dari pekan Tenom
yang sebahagian besarnya dihuni masyarakat etnik Lundayeh, kini
merupakan sebuah kampung yang maju dan menjadi kampung contoh dan
terkenal dengan hasil pertaniannya seperti padi, koko dan getah.
5. Kampung Atas Tol, Terengganu
- Mengikut cerita orang-orang tua, penduduk di sini pada zaman
tersebut tinggal di beberapa penempatan secara berkelompok, di pinggir
tanah gersang yang terbentang luas, berpasir, tidak sesuai untuk tujuan
bercucuk tanam dan sukar untuk mendapatkan sumber air. Tanah gersang
yang tidak bernama itu sekadar disebut ‘di atas itu’ atau ‘atas tu’
sahaja, lama-kelamaan ia telah menjadi bahan percakapan dan akhirnya
panggilan ‘Atas Tu atau ‘Atas Itu’ disebut dengan Atas Tol 1924 semasa
penasihat British yang pertama iaitu Humpreys memperkenalkan sistem
daerah buat pertama kalinya.
6. Jalan Microwave, Sabah
- Pengguna jalan raya memandu di sepanjang 350 km yang sunyi di
antara jalan Kota Kinabalu dan Sandakan sentiasa boleh melihat papan
tanda jalan raya pastinya akan mengundang hilai tawa sepanjang melalui
laluan tersebut.
7. Mambang Di Awan, Perak
- Mengikut seorang pegawai Inggeris, George Maxwell, dia menyebut
tempat tersebut sebagai Mambang Di Awan kerana tempat berkenaan terdapat
seorang mambang atau bidadari yang turun dari Gunung Bujang Melaka.
8. Kampung Seronok, Pulau Pinang
- Seorang jurutera Inggeris, D.W Grehan, sering datang ke kampung ini
dan berkesempatan menghadiri bebarapa majlis keramaian pada setiap
tahun. D.W Grehan sungguh tertarik dengan cara hidup penduduk kampung
ini dan aktiviti yang dijalankan. Beliau kemudian mencadangkan kampung
ini dengan nama Kampung Seronok dalam tahun 1946 dan dipersetujui oleh
orang kampung.