Tiga hari lalu, jutaan penganut Syiah telah berkumpul di bandar
Karbala di Iraq bagi meraikan sambutan penting dalam kalendar mereka
iaitu peringatan Hari Arbain.
Peringatan Hari Arbain adalah peringatan tentang 40 hari pasca
syahidnya cucunda Rasulullah, Saidina Husain AS di Karbala bersama para
sahabat-sahabatnya pada tahun 61H atau lebih popular dengan istilah,
Arbain Husaini.
Menurut kerajaan Iraq, perayaan tahun ini mencatat kedatangan
kira-kira 17 juta penganut Syiah di Karbala dengan sejuta daripadanya
adalah rakyat Iran.
Mereka berada di Karbala selama tiga hari biarpun
ada ancaman berlaku serangan.
Susulan itu Iraq terpaksa menyediakan kawalan keselamatan yang ketat
bagi memastikan tidak berlaku serangan daripada puak militan Negara
Islam (IS) yang pro Sunnah.
Para penganut Syiah turut membawa bersama mereka bendera dari
pelbagai negara menandakan kebanjiran penganut fahaman itu yang
semakin ramai di seluruh dunia.
Di antara bendera itu, ada juga bendera Malaysia kelihatan berkibar di Karbala namun tidak diketahui siapa yang berada di sana.
Tak dinafikan, fahaman Syiah memang sudah agak lama bertapak
di Malaysia namun tak sangka pula ada yang sampai sanggup menempuh
perjalanan jauh dan berbahaya ke Iraq bagi menghadiri sambutan Arbain.
Selaku negara yang berpegang kepada ajaran ahli Sunnah-Wal
Jamaah dan menjadikan Imam Shafie sebagai pegangan mazhab, Syiah tidak
diakui sebagai ajaran yang menepati agama Islam sebenar sebagai mana
dibawa oleh junjungan besar Nabi Muhammad SAW.
Menurut gabenor Karbala Akeel al-Turaihi, pihaknya berpuas hati
perayaan Arbain untuk tahun ini berakhir tanpa sebarang insiden
melibatkan kemalangan nyawa.
“Kami yakin kesudahan perayaan kali ini adalah satu babak
kejayaan yang dicapai oleh para pasukan bersenjata dan sukarelawan kami
yang menentang IS,” katanya.
Fakta Sambutan Perayaan Arbain
- Perayaan penganut fahaman Syiah terbesar di dunia
- Perayaan berlangsung selama 40 hari dengan pelbagai sambutan yang diakhiri oleh kemuncak di Karbala
- Sebelum ini, rombongan penganut Syiah dihalang oleh bekas Presiden Iraq, Allahyarham Saddam Hussein yang menentang penganut fahaman itu.
- Selepas Saddam digulingkan pada 2003, Arbain kembali disambut jutaan penganut Syiah seluruh dunia termasuk dari Iran dan India.
- Peningkatan mendadak jumlah penganut yang datang pada tahun ini, disebabkan urusan visa yang lebih mudah disediakan untuk mereka yang datang dari Iran.
- Ada beberapa jalan raya baru dibuka bagi menampung kehadiran penganut tahun ini, menurut pihak berkuasa Iraq kepada AFP.
Sumber: AFP