72% Pengguna Internet Berusia 7 Hingga 35 Tahun Di Malaysia - SKMM

KUALA LUMPUR – Statistik Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menunjukkan 72 peratus daripada 18.6 juta pengguna Internet di Malaysia adalah golongan berusia antara tujuh hingga 35 tahun.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Jailani Johari berkata, SKMM juga melaporkan bahawa berdasarkan kajian dilakukan terhadap 1,000 pelajar institusi pengajian tinggi, 600 daripada mereka menghabiskan banyak masa di laman sosial dan ketagihan itu boleh menjejaskan kesihatan mereka dan juga berdepan ancaman siber.

“Adalah penting bagi pengguna Internet mengamalkan sikap bertanggungjawab semasa menggunakan kemudahan itu untuk menangani ancaman siber.

“Kerajaan (Malaysia) telah memperkenalkan program khas dikenali Klik Dengan Bijak untuk mendidik dan meningkatkan kesedaran tentang penggunaan Internet secara selamat dan positif,” katanya.

Jailani berkata demikian dalam ucapannya pada Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) Telecom Dunia 2014 bertema ‘Strategi Bagi Masyarakat Lebih Pintar’ di Doha, Qatar, Selasa.
Teks ucapan beliau dihantar kepada Bernama di sini, semalam. – BERNAMA