SHAH ALAM – Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Burong
daripada Barisan Nasional (BN) Datuk Mohd Shamsuddin Lias hari ini
mengumumkan meletakkan jawatan sebagai ketua pembangkang Dewan Undangan
Negeri (DUN) Selangor berkuat kuasa serta merta.
Mohd Shamsuddin berkata beliau membuat keputusan itu kerana enggan
menerima pelantikannya sebagai pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang
Awam (PAC) Selangor seperti yang diluluskan pada persidangan DUN Khamis
lepas.
Beliau berkata ini berikutan sikap berat sebelah pentadbiran kerajaan
negeri yang meletakkan komposisi anggota jawatankuasa PAC dimonopoli
Adun Pakatan Rakyat (PR) dan ia dilihat lebih berunsur muslihat politik.
“Saya meletakkan jawatan ketua pembangkang DUN Selangor serta merta
atas pilihan saya sendiri dan atas prinsip integriti. Apa guna saya
memegang jawatan itu (Pengerusi PAC) jika hanya sebagai boneka dan ikut
telunjuk.
“Jika kerajaan negeri benar-benar ikhlas atas prinsip demokrasi,
mereka seharusnya ada ‘check and balance’ dan bukan hanya meletakkan
satu Adun BN berbanding empat Adun PR dalam jawatankuasa tersebut,”
katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Mohd Shamsuddin berkata kelulusan pindaan peraturan tetap 68(1) DUN
Selangor yang mewajibkan ketua pembangkang menjadi Pengerusi PAC
menyebabkan beliau terikat dengan peraturan itu dan tiada pilihan selain
melepaskan jawatan berkenaan.
Sehubungan itu katanya segala kemudahan pentadbiran yang diberikan
termasuk sebuah kereta rasmi bagi kegunaannya sebagai ketua pembangkang
telah dipulangkan semula kepada kerajaan negeri pagi ini.
Menurut beliau, surat peletakan jawatannya juga telah diserahkan
kepada Pejabat Speaker DUN pagi ini dan diterima Setiausaha Bahagian
(Dewan), Pejabat Dewan Negeri Selangor Elya Marini Darmin bagi pihak
speaker.
Katanya keputusan peletakan jawatan tersebut telah dimaklumkan kepada
Pengerusi Badan Perhubungan BN Selangor Datuk Seri Noh Omar dan senarai
calon baharu ketua pembangkang DUN itu belum dibincangkan buat masa
ini.
Dalam pada itu, Mohd Shamsuddin turut mencabar Menteri Besar Selangor
Mohamed Azmin Ali untuk menamatkan khidmat Penasihat Ekonomi Selangor
Datuk Seri Anwar Ibrahim setelah gelaran ‘Datuk Seri’ yang dikurniakan
Sultan Selangor pada tahun 1992 ditarik balik.
“Jika menteri besar (Azmin) hormat dan faham keputusan Sultan
Selangor itu, beliau sepatutnya menamatkan khidmat Anwar yang sering
mempersoal integriti institusi diraja selain mencetus kemelut politik
berpanjangan di negeri ini sehingga fokus isu semasa rakyat terabai,”
katanya. – BERNAMA