KUALA LUMPUR – Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Tan Sri Tony
Fernandes berkata syarikat itu masih tiada jawapan terhadap apa yang
berlaku kepada pesawat AirAsia Indonesia QZ8501 yang hilang pagi Ahad.
Bercakap pada sidang media di Surabaya, Indonesia, beliau berkata
sebelum pesawat Airbus A320-200 untuk perjalanan ke Singapura itu
berlepas, pesawat itu dalam keadaan baik dan telah menjalani
penyenggaraan seperti dijadualkan pada November.
“Ini satu kejutan besar kepada kami…sukar dipercayai,” kata Fernandes
yang kelihatan suram pada sidang media itu yang disiarkan secara
langsung oleh stesen televisyen Indonesia yang ditonton di sini.
Fernandes berkata beliau tidak mahu membuat spekulasi mengenai
kehilangan pesawat itu yang membawa 162 penumpang, sambil menekankan
bahawa “kita tidak tahu apa yang silap’.
Hartawan penerbangan Malaysia itu berkata beliau menyerahkan kepada
pasukan operasi mencari dan menyelamat untuk mengesan pesawat berusia
enam tahun itu yang berlepas dari Surabaya pada 5.35 pagi tetapi
terputus hubungan dengan kawalan trafik udara Indonesia pada 7.24 pagi.
Pesawat itu dijadual tiba di Singapura pada 8.20 pagi waktu tempatan.
Penumpang pesawat itu terdiri dari 155 rakyat Indonesia, Korea
Selatan (3),Singapura (1), Malaysia (1), Perancis (1) dan Britain (1).
Fernandes berkata keutamaan syarikat itu sekarang ialah menjaga
kebajikan waris terdekat penumpang dan anak kapal pesawat berkenaan.
Dalam satu siri tweet sebelum ini, beliau berkata: “Saya, sebagai CEO
kumpulan anda, akan bersama menempuh detik sukar ini. Kita akan
menempuh pengalaman pahit yang dahsyat ini bersama-sama”.
Fernandes berkata beliau terharu kerana mendapat sokongan yang
terlalubanyak terutama daripada syarikat penerbangan lain di atas
insiden tersebut.
“Ini igauan paling buruk bagi saya,” kata usahawan itu sebelum
berlepas ke Surabaya “tempat asal kebanyakan penumpang dan pegawai
pengurusan AirAsia Indonesia”. – BERNAMA