Laman perkongsian gambar paling popular di dunia, Instagram baru-baru
ini melancarkan operasi besar-besaran membersihkan pengikut tidak aktif
atau palsu melibatkan 100 akaun dengan jumlah pengikut paling ramai di
Amerika Syarikat (AS).
Hasil operasi penapisan itu, berlaku penurunan mendadak bilangan
pengikut di sesebuah akaun Instagram, menurut seorang pakar teknologi
web terkenal AS, Zach Alia menerusi indeks terbaharu laman kajian
perkongsian foto tersebut 64px.com/instagram/.
Berdasarkan pemantauan laman itu, terbukti ada akaun Instagram
sebenarnya memiliki berjuta-juta jumlah pengikut ‘hantu’ yang sengaja
diwujudkan bagi tujuan tertentu mungkin untuk bersaing populariti atau
perang saraf kononnya akaun itu diminati ramai orang.
“Penurunan paling banyak dialami akaun dengan nama samaran
chiragchirag78 yang awalnya dicatat memiliki sebanyak 3,660,468 pengikut
tetapi setelah ‘dibersihkan’, ia hanya memiliki lapan pengikut sahaja!”
kata Alia dalam ulasan ringkas laman kajian itu.
Penyanyi muda popular asal Kanada, Justin Bieber juga mengalami
penurunan pengikut yang cukup signifikan daripada lebih 23 juta
pengikut, boleh kurang secara drastik sebanyak 3,538,228 pengikut
sebelum langsung cuma menjadi kira-kira 20 juta pengikut.
Ironi, penurunan terbesar malah dialami akaun rasmi Instagram sendiri
iaitu daripada jumlah asal sebanyak 64,131,228 pengikut namun selepas
dibersihkan pengikut laman yang dimiliki firma Facebook tersebut hanya
tinggal sebanyak 45,251,017 pengikut sahaja.
Instagram diasaskan sejak tahun 2010 oleh Kevin Systrom dan Mike
Krieger; akhir tahun ini merekodkan lebih 300 juta akaun selepas diambil
alih Facebook pada 2012 dengan kadar pertumbuhan kira-kira 23 peratus
setahun berbanding Facebook 3 peratus. – Agensi