Akidah, Syariat Tidak Boleh Dipisah -Jahid

Jahid Sidek
Tasawuf yang muktabar (terhormat) dalam akidah juga bermakna muktabar dalam syariat kerana akidah dan syariat tidak boleh dipisahkan.

Ahli Jilsah Turuq Sufiyyah kerajaan negeri, Dr. Jahid Sidek berkata, tasawuf merupakan sebatian antara kedua-duanya dan akidah yang dimaksudkan itu pula ialah akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah.

“Perkara itu juga boleh ditinjau dalam beberapa aspek termasuklah dari sumbernya iaitu al-Quran dan sunnah yang ditafsirkan dengan muktabar selain aspek kedudukan dan peranan tasawuf dengan akidah iaitu bagaimana tasawuf menjadi benteng akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah,” katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu membentangkan kertas kerja bertajuk, `Konsep tasawuf yang muktabar dalam akidah', sempena Konvensyen Akidah Antarabangsa 2014 (K-Akidah) di Auditorium Jabatan Kesenian dan Kebudayaan negeri, di sini hari ini.

Katanya, peranan tasawuf juga penting dalam meningkatkan ilmu dan kefahaman tauhid ke tingkatan ‘hakikat' dan ‘makrifah' (pengetahuan yang tertinggi dan sempurna).

“Berkaitan aspek amalan pula, hendaklah juga diketahui bagaimana amalan dalam tasawuf dilakukan dengan sebaik-baiknya dengan menepati motif tauhid yang sebenar.

“Perlu juga difahami aspek kepelbagaian prinsipnya dan bagaimana prinsip tersebut yang merupakan satu mekanisme dapat memenuhi tuntutan akidah, begitu juga dengan aspek pemantauan akidah, bagaimana dapat memberi kesan yang sangat positif,” jelasnya.

Jahid juga menjelaskan, tasawuf merupakan satu madrasah kerohanian Islam yang lahir bersama lahirnya Islam.

“Kandungan dalam tasawuf merupakan amalan Rasulullah, golongan sahabat, `tabi'in', `tabiut-tabi'in' dan pada salafussoleh. Amalan tasawuf adalah sunnah `muttaba'ah' dan menjadi satu dari tiga rukun Islam iaitu Islam, iman dan ihsan,” ujarnya. -Utusan