PUTRAJAYA – Blogger kontroversi Alvin Tan dan aktivis politik Ali
Abdul Jalil diminta hadir di Jabatan Imigresen Malaysia atau Pejabat
Perwakilan Malaysia yang terdekat untuk menyerahkan pasport
masing-masing yang dibatalkan pada Isnin.
Jabatan Imigresen Malaysia mengeluarkan kenyataan hari ini meminta
mereka berdua menyerahkan pasport Malaysia antarabangsa masing-masing
A28945390 milik Ali dan A32765005 milik Alvin Tan atau nama sebenarnya
Tan Jye Yee.
Penarikan pasport Tan dan Ali adalah kes pertama dilakukan Jabatan Imigresen Malaysia.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Mustafa Ibrahim sebelum ini
dilaporkan berkata, pasport adalah hak milik kerajaan Malaysia dan ia
boleh ditarik balik pada bila-bila masa dan jabatan itu tidak akan
teragak-agak mengambil tindakan kepada mereka yang menghina mahkamah,
Islam dan Raja-Raja.
Tan melarikan diri ke Amerika Syarikat bagi mendapatkan perlindungan
politik dan mengelak daripada ditahan pihak berkuasa di Malaysia atas
kesalahan-kesalahan yang dilakukan termasuk di bawah Akta Hasutan kerana
mempersendakan agama Islam dan bulan Ramadan serta mempersendakan
institusi Beraja melalui laman Facebooknya.
Ali pula melarikan diri ke Sweden bagi mendapatkan perlindungan
politik. Ali berdepan tuduhan menghasut kerana menghina institusi Raja
di negara ini melalui laman Facebooknya. – BERNAMA