AMK Label Chegu Bard Parasit PKR

KUALA LUMPUR – Angkatan Muda Keadilan (AMK) kesal dengan ahli parti yang digantung, Badrul Hisham Shahrain kerana mendakwa Menteri Besar, Mohamad Azmin Ali bersetuju dengan pembatalan gelaran Datuk Seri yang diberikan kepada Anwar Ibrahim oleh Istana Selangor.

Ahli Majlis Pimpinan Pusatnya, Zafril Eusoff berkata, AMK turut menyelar Badrul Hisham kerana menuduh wakil rakyat Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP menarik semula sokongan kepada Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail selaku calon Menteri Besar Selangor beberapa bulan lalu.

“Dakwaan Badrul Hisham tidak berasas serta telah dinafikan oleh wakil-wakil rakyat PKR serta DAP semalam. Dakwaan beliau ini dikitar semula dari kenyataan beliau sebelum ini yang bertujuan memecahbelah serta memalukan parti.

“Manakala serangan berterusan beliau terhadap Mohamed Azmin pula adalah susulan daripada dendam peribadi beliau yang gagal dalam percaturan politiknya untuk menyekat Mohamed Azmin dari memenangi jawatan Timbalan Presiden PKR dalam pemilihan parti baru-baru ini,” dakwanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Sehubungan itu, Zafril berkata, AMK menggesa Badrul Hisham berhenti menjadi duri dalam daging di dalam parti dengan merosakkan kestabilan parti dan menggugat hubungan baik dalam kalangan pimpinan tertinggi parti.

“Jika Badrul Hisham mahu jadi perosak PKR, maka kami menyeru beliau agar keluar parti. PKR tidak memerlukan parasit seperti beliau,” dakwanya.

Badrul Hisham semalam mendakwa Menteri Besar Selangor Mohamad Azmin bersetuju dengan pembatalan gelaran Datuk Seri yang diberikan pada Anwar Ibrahim.
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
Sumber: Mynewshub.cc