MUMBAI – Seorang pemuda yang beria-ia untuk berjihad dengan kumpulan
militan negara Iraq dan Syria (ISIS) hingga sanggup terbang ke Iraq,
akhirnya lari balik ke kampungnya selepas tidak tahan kerana disuruh
mencuci tandas.
Ternyata sangkaan Areeb Majeed, 23, yang juga pelajar kejuruteraan
bahawa dia akan berperang bersama-sama ISIS adalah meleset sama sekali.
Sebaliknya Areeb hanya disuruh melakukan kerja-kerja harian dan dia
semakin tertekan apabila iPod miliknya tidak lagi berfungsi selain cuaca
sejuk yang melampau.
Areeb akhirnya pulang ke Mumbai untuk bersama semula keluarganya, Jumaat lalu.
Dia bagaimanapun ditangkap Agensi Siasatan Kebangsaan India (NIA).
Semasa disoal siasat, Areeb memberitahu ISIS telah meminggirkannya
hingga menyebabkan dia menghubungi ahli keluarganya dan memaklumkan mahu
pulang.
Areeb turut memberitahu dia juga tidak mendapat rawatan perubatan yang sempurna ketika bersama ISIS.
“Saya terkena peluru sesat dan hanya selepas saya merayu barulah mereka menghantar saya ke hospital,’’ katanya.
Areeb tidak keseorangan malah terdapat ramai warga asing yang berjuang bersama IS merasakan mereka telah ditipu.
Mereka kini sedang bekerjasama dengan peguam-peguam dari Perancis
yang mengumpul mesej dan surat yang dihantar untuk membuktikan bahawa
mereka telah diperdayakan.