KUALA LUMPUR – Orang awam dinasihatkan untuk mengelak daripada
terdedah atau tersentuh ‘rumpai miang Mexico’ atau ‘parthenium
hysterophorus’ kerana boleh menyebabkan alahan, terutamanya kepada
kanak-kanak dan orang tua.
Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah
berkata rumpai miang Mexico mempunyai bahan kimia pada debunga, bahagian
akar, daun dan batang iaitu parthenin, hymenin dan ambrosin yang
dikenal pasti boleh memberi kesan ke atas kesihatan manusia.
Rumpai miang Mexico mempunyai bunga berwarna putih. |
“Namun tidak semua yang terdedah mengalami reaksi alahan atau alergi.
Sesetengah orang mengalami gejala (alahan) apabila pendedahan
berterusan dan berulang kali.
“Gejala tindak balas alahan adalah seperti ruam kulit, kulit
mengelupas, gatal-gatal pada kulit, mata bengkak, rinitis alergi serta
gangguan kepada sistem pernafasan seperti selsema dan asma,” katanya
dalam kenyataan di sini, hari ini.
Contoh kesan alergi yang menimpa sesetengah orang jika tersentuh rumpai miang Mexico. |
Dr Noor Hisham mengulas laporan sebuah akhbar tempatan semalam,
mengenai kejadian alahan pada kulit dan gejala gangguan pada sistem
pernafasan dalam kalangan pekerja ladang kelapa sawit di Sidam, Kedah
dipercayai berkaitan dengan rumpai miang Mexico.
Rumpai miang Mexico merupakan sejenis tumbuhan liar berasal dari
beberapa negara di Amerika Selatan dan Utara sebelum tersebar ke Asia
dan dikatakan berbahaya kerana boleh memberi kesan teruk kepada
ekosistem semula jadi, sektor pertanian dan ternakan selain kesihatan
manusia.
Bagaimanapun, Dr Noor Hisham memberitahu setakat ini, masih tiada
peningkatan trend pesakit dengan gejala alahan kulit dan pernafasan
seperti asma dilaporkan daripada fasiliti kesihatan di negeri terlibat
seperti Perak, Kedah, Negeri Sembilan dan Selangor.
Dr Noor Hisham juga menasihatkan mereka yang mengalami gejala alahan
atau masalah pernafasan akibat terdedah kepada rumpai itu untuk segera
mendapatkan rawatan di klinik kesihatan yang berhampiran.
Mereka juga diminta memaklumkan kepada pengamal perubatan mengenai
pendedahan terhadap rumpai itu, kerana KKM akan meminta kementerian atau
agensi berkaitan untuk mengambil tindakan bagi mengawal atau
memusnahkan tumbuhan itu. – BERNAMA