Badak Air Patah Kaki "Terbang Keluar" Dari Trak


Taiwan – Seekor badak air dirakam dalam keadaan menyayat hati selepas melompat keluar dari sebuah trak di sini baru-baru ini.

Haiwan malang itu dilaporkan patah kaki dan gigi selepas melompat dari sebuah trak semasa dibawa dari daerah Miaoli ke sebuah zoo.

Menurut pemandu trak yang ditemu bual, badak air bernama A Ho itu mungkin panik sebelum kelihatan seperti sedang ‘terbang keluar’ dari pintu trak.

“Saya terkejut melihat A Ho jatuh dari trak dan bergegas menaikkannya kembali untuk mengelakkan daripada dilanggar oleh kenderaan lain,” kata pemandu trak itu.

Berikutan keadaan badak itu yang mengalami patah kaki, pihak berkuasa terpaksa menggunakan kren untuk mengangkat haiwan itu naik semula ke atas trak yang mengambil masa beberapa jam.

Pihak berkuasa Taiwan berkata, mereka yang menyebabkan kecederaan kepada badak itu mungkin didakwa di bawah akta haiwan terlindung. – AGENSI