Isu ajaran sesat bukanlah satu perkara yang asing dalam kamus
kehidupan umat Islam. Ini kerana ia datang seiring dengan kehidupan
manusia. Namun, masih terdapat ramai kalangan umat Islam yang begitu
mudah terjebak dengan fenomena ajaran sesat tersebut. Meninjau realiti
umat Islam akhir-akhir ini, ramai orang bercakap mengenai fahaman
liberal. Ada yang memahami liberalisme itu sebagai satu bentuk falsafah.
Tidak kurang pula yang menganggap falsafah liberalisme itulah yang
mampu membawa kemajuan kepada manusia dan masyarakat. Falsafah liberal
itu pada hakikatnya adalah satu bentuk pembebasan atau kemerdekaan bakal
memungkinkan manusia mencapai tahap kejayaan.
Dari sudut sejarah, fahaman liberal sebenarnya muncul ketika
meletusnya Revolusi Perancis pada tahun 1789. Perjuangan pekerja
menerusi slogan kebebasan (liberte), kesamaan (egalite) dan persaudaraan
(fratenite) telah menjadi prinsip bagi penyingkiran kekuasaan. Dalam
bidang ekonomi liberalisme dihubungkan dengan sistem pasaran bebas.
Kerajaan tidak berhak campur tangan dan campur tangan kerajaan jika
berlaku pun, ia hanyalah dalam bentuk yang paling minimum.
Liberalisme membiarkan kapitalisme menguasainya, penentuan harga
adalah berdasarkan kuasa pasaran. Ia turut menyerap masuk prinsip
spekulasi dan pelobian dalam memperoleh sesuatu. Natijahnya, wujud
perlumbaan dan persaingan yang hebat bagi erebut penguasaan pasaran.
Prinsip kesamarataan
Dalam hubungan sosial pula, liberalisme memberikan makna ke atas
prinsip kesamarataan. Ia amat berkait rapat dengan kecenderungan
perjuangan golongan feminis, iaitu prinsip persamaan jantina. Ini
seterusnya membawa kepada lahirnya istilah gender, kepupusan kawalan
sosial terhadap seseorang dan runtuhnya institusi kekeluargaan.
Wanita berhak menentukan corak kehidupannya sendiri, dan dalam
menentukan corak kehidupan itu ia tidak memerlukan sebuah kehidupan
berkeluarga. Mereka menentang ungkapan wanita hanya berfungsi untuk
melahirkan anak atau kilang bayi, malah menganggapnya sebagai satu
penghinaan terhadap kaum wanita.
Tetapi, sebenarnya antara fungsi perkahwinan menurut Islam adalah
untuk memperbanyakkan zuriat sebagai kesinambungan kehidupan. Oleh
kerana kecewa dengan tanggapan tersebut, maka prinsip liberalisme ini
menekankan bahawa wanita berhak menentukan nasibnya sendiri.
Tidakseorang pun boleh memaksa atau berhak untuk menyekatnya. Wanita
menjadi kuasa baru dalam pelbagai hal, sama ada politik, pengurusan
mahupun ekonomi.
Pola ini sedang berkembang luas di seluruh dunia. Nisbah yang hampir
sama antara lelaki dan wanita menyebabkan nilai masyarakat terhadap
kehidupan wanita telah berubah. Untuk membuka pasaran dan mencari
keuntungan, perlu ada produk khusus untuk wanita dan kerana itu, produk
yang berkait dengan keperluan wanita semakin banyak, baik yang berupa
pakaian, barangan kecantikan, perhiasan, elektrik mahu pun majalah.
Jika dilihat pasaran majalah, majalah khusus untuk wanita lebih
banyak daripada majalah khusus untuk lelaki atau pun lain-lain bidang
profesional. Jika dilihat dari aspek pertumbuhan gedung membeli- belah,
kedai yang menjual perkakasan wanita adalah lebih banyak daripada
lain-lain barangan. Dari perspektif Islam pula, fahaman liberalisme ini
sangat berbahaya. Hal ini kerana konsep liberal dikaitkan dengan
kebebasan untuk memilih agama dan mengamalkan apa yang dipercayainya
selaras dengan prinsip rasional seseorang.
Prinsip untung, rugi jadi sandaran
Agama dilihat sebagai hak peribadi, dan orang lain tidak boleh
menentukannya. Konsep baik dan buruk dinilai berdasarkan perspektif
individu, perspektif kemasyarakatan tidak lagi menjadi teras pegangan.
Prinsip untung, rugi menjadi sandaran, dan kerana itulah sesuatu
tindakan akan dibuat berdasarkan prinsip tersebut. Melalui pemahaman
itulah kita dapat kata-kata yang sengaja diadakan bagi menghalalkan apa
yang dilakukan.
Umpamanya, kita biasa dihidangkan dengan ungkapan 'Aurat tidak perlu
ditutup, yang penting iman wujud di dalam hati, 'Orang berzina tidak
boleh dihukum, kerana kerelaan hati pasangan', 'Duduk serumah tanpa
ikatan perkahwinan tidak salah selagi tidak berlaku perzinaan' dan yang
terakhir program 'Saya mahu sentuh anjing'.
Prinsip itu berkembang dan menjadi budaya masyarakat Malaysia.
Walaupun prinsip Islam liberal diharamkan secara jelas, namun
nilai-nilainya semakin berkembang dalam kalangan masyarakat Islam.
Berdasarkan perkembangan dan pertembungan budaya melalui pendidikan,
proses sosial dan teknologi maklumat, fahaman liberal dalam masyarakat
semakin mengambil tempat. Keluarga yang mempunyai kawalan mutlak
terhadap kebebasan anak-anak mula terhakis apabila merasakan anak-anak
perlu diberikan kebebasan.
Anak yang berkerjaya menjadikan ikatan kekeluargaan semakin longgar
atas desakan kesibukan masa dan keperluan profesional. Inilah namanya
kebebasan, dan akhirnya kebebasan itu menjerat kebebasan orang lain.
Harga sebuah kebebasan itu menjadi terlalu mahal, dan ada kalanya
melanggar kebebasan orang lain.
Prinsip liberalisme itu turut berkembang dalam pemikiran umat Islam
sehingga akhirnya pegangan tradisi tentang agama akan berubah. Walaupun
perkembangan Islam liberal di Malaysia masih terkawal dan tidaklah
sehebat di Indonesia melalui bentuk pertubuhan dan organisasi, namun
pihak kerajaan dan pihak berkuasa agama perlu bertindak tegas menghadapi
ancaman fahaman dan pemikiran liberal ini daripada merebak dan
mengeruhkan keharmonian penghayatan Islam dalam kalangan masyarakat
Islam di Malaysia.
Program berunsurkan liberal perlu dipantau dari semasa ke semasa dan perlu diharamkan jika ia memudaratkan keamanan negara.-BH Online