KOTA BAHARU – Banjir besar melanda Kelantan kali ini jelas memberi
pengalaman baharu dan cabaran buat beberapa anggota Jabatan Bomba dan
Penyelamat dalam menjalankan tugas menyelamatkan mangsa banjir.
Menceritakan pengalaman sepanjang operasi menyelamat mangsa banjir,
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Ketereh, Mohd Rafain Mat Zin berkata
ada satu ketika beliau terpaksa berdepan dengan orang kampung yang
dicengkam emosi selepas pihaknya lewat tiba untuk memberi bantuan.
“Memang ia pengalaman baharu, saya dan anggota bomba lain ditegur orang kampung kerana kami lewat tiba.
“Mereka tidak tahu sebelum itu kami perlu menyelamatkan 300 orang di
kawasan lebih kritikal berikutan air naik secara mendadak,” katanya
kepada Bernama.
Rakan sekerjanya, Wan Asri Wan Yaacob, berkata pengalaman yang tidak
dapat dilupakan adalah ketika bot dinaikinya ditolak arus deras sehingga
terbabas daripada destinasi yang dituju pada Jumaat lalu.
“Ketika itu kami sedang membantu penduduk di Kampung Mata di Machang,
namun keadaan air yang sangat deras menyebabkan bot yang saya naiki
terbabas ke seberang sungai hingga ke Kampung Kursial, Tanah Merah,”
katanya.
Menurutnya, bot yang dinaiki bersama tiga rakan setugas dan tiga
mangsa banjir terkandas dan terputus hubungan dengan anggota penyelamat
lain.
“Selama berada di situ, saya terpaksa menahan lapar kerana bekalan
makanan yang ada di atas bot diberikan kepada penduduk yang berada
bersama-sama kami,” kata Wan Asri.
Beliau turut melalui situasi terpaksa tidur di tepi jalan sambil
menahan kesejukan kerana tiada tempat lain untuk berteduh. – BERNAMA