Banjir: Jururawat Akui Arus Deras Sukarkan Bantuan Tiba, Kongsi Pengalaman 6 Hari Terperangkap!

Seorang penduduk cuba mengambil barang melalui bumbung rumahnya yang hampir ditenggelami banjir di Kampung Tiong, Gua Musang, semalam. - Foto Bernama
Seorang jururawat yang terperangkap selama enam hari di dalam suasana banjir di Gua Musang akui bantuan sangat sukar untuk disalurkan ke tempat mereka ekoran arus banjir sangat deras yang tidak memungkinkan sebarang kenderaan sampai ke lokasi mangsa.

Jururawat masyarakat, Suzana Bakar, 49, yang bertugas di Klinik Desa Kampung Star, Bertam Baru, Gua Musang ketika itu berkata, dia dan seramai 150 mangsa terperangkap di kampung mereka yang seolah menjadi "pulau" dengan bekalan makanan yag sangat terhad.

Menceritakan detik deritanya kepada Bernama, jururawat tersebut dan seluruh mangsa di situ begitu tabah dan bersabar dengan berkongsi menjamah makanan yang sedikit ketika berlindung di Sekolah Kebangsaan Star, Bertam Baru, dengan sehelai sepinggang.

"Ini disebabkan kami tidak menyangka air naik secara mendadak kerana sebelum ini tidak pernah berlaku.

"Sebaik makanan tiba di sekolah itu mereka berebut-rebut mendapatkan makanan yang tidak mencukupi kerana jumlah mangsa banjir yang datang ke pusat itu bertambah setiap hari," katanya.

Suzana menjelaskan bahawa sepanjang berada di sekolah itu, sebahagian besar mangsa memakan apa sahaja seperti biskut dan mi segera bagi mengalas perut untuk mengelak daripada kebuluran dan sepanjang malam pula terpaksa bergelap akibat bekalan elektrik terputus.
  
Bagaimanapun, Suzana bersyukur kerana ketika kejadian dia dan empat anaknya yang masing-masing berumur antara tiga dan 14 tahun, sempat menyelamatkan diri ke sekolah berkenaan lebih awal apabila menyedari paras air semakin meningkat ke paras paha dalam tempoh beberapa minit.

Sebelum ini tersebar laporan palsu menerusi laman-laman sosial yang mendakwa bantuan dari pihak berkuasa "sengaja" dilewatkan dan tidak diurus dengan cekap, sekaligus menyalahkan pihak kerajan dan agensi bertanggungjawab.

Biarpun cuba dijelaskan tentang kesukaran menyalurkan bantuan ekoran faktor arus terlalu deras yang mungkin membahayakan pasukan penyelamat yang membawa bantuan, orang ramai lebih mudah terpengaruh dengan dakwaan palsu yang dipercayai bermotifkan politik tersebut. -Kedahnews.com