Banjir: Konvoi Belia Dari Utara Dilepas Ke Kelantan #PrayForPantaiTimur

Konvoi telah dilepaskan menuju ke Kuala Krai dan Gua Musang
Tidak dapat menahan diri dari sekadar berpeluk tubuh melihat derita saudara seagama sebangsa, Majlis Belia Negeri Kedah dan Perlis terpanggil untuk membantu bersama-sama meringankan beban mangsa-mangsa banjir di negeri Kelantan.

Menurut sumber, konvoi dari kedua majlis belia dua negeri di utara itu baharu sahaja dilepaskan menuju ke negeri Cik Siti Wan Kembang itu.

Sumber Kedahnews.com juga menjelaskan bahawa pasukan konvoi tersebut mensasarkan bantuan di daerah Kuala Krai dan Gua Musang, dua kawasan kritikal yang dikatakan mengalami bencana banjir terburuk hingga kini.

Konvoi berkenaan telah dilepaskan pagi tadi oleh Speaker Dewan Undangan Negeri Kedah, Datuk Md Rozai Shafian, dan Datuk Ariffin Man.

Mereka dijangka tiba di lokasi bantuan petang ini dengan misi murni dari kalangan belia negeri Kedah dan Perlis.

Kedahnews.com mengucapkan syabas dan tahniah atas kesungguhan dua badan belia utara tersebut dalam usaha meringankan beban mangsa-mangsa banjir di sana.

Jazaakumullah khairal jazaak!  -Kedahnews.com