KUALA LUMPUR – Penyebaran maklumat palsu terutama melalui aplikasi
WhatsApp ketika banjir besar melanda negara menimbulkan suasana panik
masyarakat malah boleh menjejaskan usaha menyelamat yang sedang diatur.
Pensyarah Sains Sosial Universiti Sains Malaysia (USM) Prof Madya Dr
Sivamurugan Pandian berkata tindakan tersebut menimbulkan persoalan sama
ada ia bermotifkan politik atau bertujuan menguji kredibiliti kerajaan
dalam menguruskan bencana yang berlaku.
Ia juga dilihat sebagai usaha terancang pihak tertentu untuk
memburukkan lagi keadaan dan imej kerajaan pimpinan Perdana Menteri
Datuk Seri Najib Tun Razak, katanya yang juga Timbalan Dekan Pusat
Pengajian Sains Kemasyarakatan USM.
Katanya keadaan ini menguji toleransi individu yang terdedah kepada
akses Internet supaya bijak menilai maklumat atau berita yang tidak
tentu kesahihannya.
Terbaharu, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terpaksa membuat penafian
berhubung maklumat kononnya ATM mengarahkan penduduk di Pekan, Pahang
agar segera pindah kerana limpahan air banjir.
Mengikut Seksyen 233 (1) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, mereka
yang didapati bersalah boleh dihukum denda RM50,000 atau penjara tidak
melebihi setahun atau kedua-duanya.
Berikut antara maklumat yang tersebar semasa musim banjir yang telah disahkan palsu;
* Kematian 10 sekeluarga di Kampung Guchil, Kuala Krai
* Seluruh Kota Baharu terputus bekalan elektrik
* Kematian 40 pesakit di Hospital Kuala Krai akibat ketiadaan oksigen
* Gelinciran pada Jambatan Sultan Yahya Petra di Kota Baharu
* Pengisytiharan darurat di Kelantan
* Empangan Kemubu akan dibuka yang memungkinkan banjir lebih besar di Kok Lanas, Kelantan
* Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) menyekat bantuan untuk mangsa banjir di Kuala Krai, Kelantan
* Empangan Batu di Selangor berada diparas bahaya dan mengalami rekahan serta akan dibuka untuk melepaskan air
* Pelepasan air dari Empangan Tasik Kenyir di Hulu Terengganu kononnya akan menenggelamkan Bandar Kuala Berang
* Seorang remaja Tahfiz mati lemas di Rantau Panjang
* Tiga petugas Petronas meninggal dunia dalam kemalangan ketika misi menghantar bantuan ke Kelantan
* Pusat pemindahan mangsa banjir di Sekolah Manek Urai runtuh
* Angkatan Tentera Malaysia (ATM) arahkan penduduk di Pekan, Pahang
supaya keluar dai daerah itu kerana limpahan air sungai Temerloh sedang
menuju Pekan. – BERNAMA