Bekas peserta program hiburan Mentor, Dewi Liana Seriesta, telah dinobatkan
sebagai Miss Talent pada pusingan akhir pertandingan Miss World 2014
yang diadakan di Auditorium Exel, London pada Ahad lalu.
Pada malam tersebut, Dewi mendendangkan lagu berjudul Don Juan
Triumphant dari muzikal The Phantom of The Opera, lantas mengetepikan
120 calon lain bagi merangkul gelaran tersebut.
Memetik mStar, Dewi menjelaskan dia langsung tidak menjangka
kemenangan tersebut memandangkan saingan sengit yang diberikan para
peserta lain.
Walau bagaimanapun, ujarnya, kemenangan tersebut didedikasikannya kepada seluruh rakyat Malaysia.
Bercakap soal pemilihan lagu, ujar gadis berusia 25 tahun itu, lagu
tersebut jadi pilihannya kerana mencabar kemampuan vokal dan bersyukur
ia disukai para juri yang menilai.
“Menyanyi di atas pentas dan
disaksikan oleh penonton di seluruh dunia cukup mendebarkan tetapi ia
adalah pengalaman berbaloi dan akan jadi memori terbaik sepanjang hidup
saya.”
Dewi berjaya tersenarai dalam 16 peserta terbaik dunia. Miss World
2014 disandang oleh peserta dari Afrika Selatan, Rolane Strauss yang
merupakan penuntut bidang perubatan berusia 22 tahun.
Sebelum ini, Dewi terpilih sebagai protege kepada penyanyi terkenal,
Liza Hanim dalam program Mentor musim pertama yang bersiaran pada 2010.
Julai lalu pula, bakat Dewi turut diiktiraf di peringat antarabangsa
apabila merangkul kemenangan lima pingat di World Championship of
Performing Art (WCOPA) di Los Angeles, Amerika Syarikat. Kedahnews.com