TINGGAL beberapa jam lagi, penganut Kristian di negara kita dan
seluruh dunia bakal menyambut perayaan terbesar agama itu Krismas
manakala bagi masyarakat bukan Kristian di Malaysia, juga berasa bertuah
dapat cuti bersama-sama dengan keluarga.
Ada turut mengambil kesempatan pada hari kelepasan umum itu
mengunjungi rumah terbuka anjuran sahabat yang menganut Kristian bagi
menikmati juadah istimewa selain sekilas mengucapkan ‘Merry Christmas and Happy New Year!‘ buat tuan rumah terbabit.
Berbeza beberapa negara seperti Arab Saudi, Iran, Libya, China,
Mongolia dan Vietnam yang tiada ‘cuti umum’ pada 25 Disember, Malaysia
beruntung dek kepelbagaian budaya dan agama menjadikan masyarakat majmuk
merayakan setiap perayaan dengan cara tersendiri.
Malangnya di sebalik keharmonian hidup penduduk berbilang latar
belakang itu ada pula pihak tidak bertanggungjawab cuba mencetuskan
kegelisahan masyarakat dengan menyebarkan berita palsu yang tujuannya
pasti untuk membangkitkan kemarahan rakyat.
Terbaharu, sumber menerima satu salinan laman sosial
memaparkan mesej berbaur provokasi liar dan gambar sebuah gereja konon
dibakar yang tentunya sengaja menyentuh sensitiviti penganut Kristian
lebih-lebih lagi menjelang perayaan besar mereka.
Pengirim mesej itu yang menggunakan nama samaran Ayahnda Raja Provokasi
dilihat sengaja mahu mengguris perasaan pihak tertentu dan cuba
melagakan kesabaran umat Islam apabila memulakan pesanan dengan kalimah
suci ‘Allahuakbar Takbir!‘
Mesej tersebut mendakwa ada sebuah gereja di Kuala Lumpur berjaya
dibakar sekumpulan aktivis sebuah pertubuhan bukan kerajaan terkenal
dikenali sebagai Perkasa selain memberi kata-kata sokongan dan berasa
bangga terhadap tindakan berani mereka itu.
Sekali pandang, mesej sensasi itu tampak betul-betul benar namun jika
dibuat semakan, ternyata ada banyak kesilapan yang sekali gus
mendedahkan mesej tersebut sebenarnya direka penuh teliti sebelum
disebarkan untuk menjadi viral menerusi laman sosial.
Antara contoh boleh diragui ialah nama jawatan pemimpin tertinggi
Perkasa, Datuk Ibrahim Ali hanya dirujuk sebagai jurucakap yang macam
setaraf PRO sahaja dan menimbulkan tanda tanya siapa pula pengganti
beliau sebagai presiden baharu organisasi itu.
Juga kononnya beliau ditemuramah Astro Awani walhal berita itu langsung tidak disiarkan stesen berkenaan termasuk menerusi laman web Astro Awani sendiri padahal jika benar berlaku, berita ini amat ‘panas’ dan pasti dapat liputan luas semua media massa.
Selebihnya, biarlah pembaca menilai sendiri kesahihan mesej laman
sosial itu yang disebar betul-betul kena pada waktu penganut Kristian
tengah bersiap sedia merayakan perayaan Krismas manakala masyarakat
agama lain sibuk merancang percutian sendiri.
Adakah ini idea pihak tertentu mahu menjejaskan imej Perkasa kerana
lantang perjuangkan hak Melayu dan kebetulan cuba dirosakkan
akhbar-akhbar Inggeris dan Cina susulan peristiwa poster Krismas oleh
DAP Perak dirosakkan di Ipoh baru-baru ini.
Sekiranya benar, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia wajar
siasat pihak terbabit dan membawa mereka ke muka pengadilan bagi
memberi mesej jelas bahawa penyebar fitnah akan menerima balasan kerana
cuba merosakkan nama baik Malaysia.
Sumber: Mynewshub.cc