KUALA LUMPUR – Amanah Saham Nasional Bhd (ASNB), anak syarikat milik
penuh Permodalan Nasional Bhd (PNB), hari ini mengumumkan agihan
pendapatan 6.45 sen seunit bagi Amanah Saham Nasional (ASN) untuk tahun
kewangan berakhir 31 Dis, 2014, sama seperti agihan pendapatan tahun
lepas.
Pengerusi PNB Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid berkata agihan pendapatan
itu membabitkan pembayaran sejumlah RM107.57 juta, dan akan memberi
manfaat kepada 1.26 juta pemegang unit yang kini memiliki sejumlah 1.66
bilion unit ASN.
“Sehingga 22 Dis, ASN mencatat pendapatan kasar RM138.99 juta,”
katanya pada sidang media selepas pengumuman dividen itu di sini hari
ini.
Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif PNB Tan Sri Hamad
Kama Piah Che Othman berkata ASNB boleh membayar dividen sehingga 11.2
sen seunit, namun setelah menimbang aliran menurun pasaran saham,
lembaga pengarah memutuskan membayar agihan 6.45 sen seunit.
Dalam tempoh 31 Dis tahun lepas hingga 22 Dis tahun ini, FTSE Bursa Malaysia KLCI merosot 6.6 peratus.
Pasaran tempatan susut disebabkan harga komoditi yang rendah,
terutama minyak sawit mentah dan minyak mentah, yang turun dengan
ketara.
Hamad bagaimanapun berkata aliran menurun dalam pasaran saham membuka
peluang untuk pengurus dananya membangunkan strategi baharu dan
berkesan dalam meningkatkan portfolio dana.
Beliau berkata penurunan di pasaran saham akan membolehkan pengurus
dana memilih saham yang sesuai dengan portfolio dana, selain memastikan
pendapatan yang kukuh dan berterusan.
“Masyarakat pelabur di Malaysia, terutama pelabur unit amanah,
biasanya memilih unit-unit amanah berharga tetap, namun secara
keseluruhannya tahun ini, portfolio untuk ASN 2, ASN 3 dan Amanah Saham
Gemilang (ASG) yang harganya berubah-ubah, telah bertambah dengan
ketara.
“Portfolio ASN 2 bertambah 381 peratus sepanjang 2014, ASN 3
meningkat 441 peratus manakala ASG 178 peratus, sedangkan unit amanah
berharga tetap masih lagi dalam lingkungan pertumbuhan 4-9 peratus,”
katanya. – BERNAMA