Meskipun hasrat PAS ditentang rakan sekutunya dalam Pakatan Rakyat (PR),
namun, Barisan Nasional (BN) Kelantan tetap konsisten menyokong
perlaksanaan hukum hudud yang dirancang parti Islam tersebut di sana.
Memetik laporan media, Setiausaha BN Kelantan, Datuk
Hanapi Mamat berkata, parti itu mengharapkan agar cita-cita PAS bakal
terlaksana apabila tiba masanya nanti.
Beliau menyatakan sokongan terhadap perlaksanaan undang-undang Islam
tersebut dan akan terus komited menyokong usaha PAS Kelantan.
“Malah, pada masa sama kami di peringkat negeri cuba menyesuaikan diri dengan kehendak pelaksanaan undang-undang Islam ini.
Realitinya BN Kelantan benar-benar ingin melihat hudud dilaksanakan sebagaimana dirancang," ujarnya.
Ia merupakan reaksi dari Hanapi setelah disoal tentang polemik
terbaru PR apabila DAP mendesak PAS dan PKR menolak perlaksanaan hukum
hudud andai mereka ingin mengambil alih Putrajaya.
“Rakyat kena lihat siapa yang ikhlas dan
sebaliknya, malah siapa cuba mempolitikkan isu ini dan yang betul-betul
ingin melihat hudud ini dilaksanakan sebagaimana dirancang," tambahnya,
Kelantan bakal mengadakan sidang khas Dewan Undangan Negeri Kelantan
pada 29 Disember depan bertujuan untuk meminda Kanun Jenayah Syariah II
bagi membolehkan hukum hudud dilaksana di sana.
Antaranya adalah hukuman terhadap penzina, pihak yang menuduh perbuatan zina tanpa bukti dan kaki botol.
Tidak selari dengan PAS, DAP menyifatkan perlaksanaan undang-undang Islam tersebut bakal melambatkan usaha PR mentadbir negara. -Kedahnews.com