Bidang Farmasi Tawar Gaji Paling Tinggi Di Malaysia?


Sesiapa pun mahu dibayar gaji tinggi setimpal dengan kerja dan kelayakan. Namun, persaingan yang sengit dalam pasaran kerja sekali gus membuatkan ada antara kita tercicir dengan bekerja di luar daripada kelayakan akademik diperolehi.

Baca artikel ini dan dapatkan idea untuk mencorak masa depan.

Bagi individu lepasan sekolah yang masih mencari jurusan terbaik untuk membina kerjaya mungkin inilah masanya anda membuat keputusan. Namun, bagi yang sudah bekerja tidak mustahil untuk mengubah sesuatu bagi meraih pendapatan lebih baik.

Dalam kajian dijalankan portal Jobstreet.com, 10 pekerjaan menawarkan gaji tertinggi di Malaysia disenaraikan berdasarkan senarai majikan diperoleh di laman web itu bagi tempoh 1 Januari hingga 31 Ogos 2013.

FARMASI PALING TINGGI

Kaji selidik itu mendapati pekerja yang berkhidmat dalam jawatan eksekutif khusus dalam bidang perubatan, kejuruteraan, kewangan dan teknologi maklumat (IT) secara amnya memperoleh gaji lebih tinggi. Purata gaji dinyatakan adalah RM2,800 sebulan.

Senarai ini adalah kerangka gaji permulaan. Ia boleh meningkat dalam masa sebulan dan seterusnya. Ketahui sembilan tangga gaji tertinggi yang lain seperti dinyatakan di bawah :

1. FARMASI: RM3,640

2. STRATEGI KORPORAT: RM3,200

3. PERKHIDMATAN KEWANGAN: RM3,054

4. DOKTOR: RM2,719

5. JUALAN-KEJURUTERAAN/IT: RM2,612

6. GEOFIZIK: RM2,600

7. PENERBANGAN: RM2,533

8. SAINS AKTUARI: RM2,475

9. KORPORAT: RM2,456

10. IT-PERISIAN: RM2,452

PILIH ATAU BERUBAH

Menarik apabila melihat kepada angka gaji ditawarkan namun perlu diingat, bukannya mudah untuk berjaya dalam jurusan berkaitan. Ia memerlukan usaha dan fokus yang tinggi untuk berada pada tahap terbabit.

Bagi Gen Y dalam golongan lepasan sekolah, ketahui minat anda dan buat pilihan yang betul. Kaji pasaran semasa dan ketahui bidang yang mempunyai permintaan tinggi ketika ini dan masa akan datang. Perlu diingat, tidak guna mengejar gaji tinggi untuk memilih kursus kerana desakan, bukannya minat sendiri. Buat penilaian terbaik dengan merujuk kepada kaunselor atau pensyarah.

Bagi Gen Y yang ingin mengubah haluan, anda boleh mengambil kursus tambahan sambil bekerja. Jangan merasa rendah diri jika kerjaya sekarang tidak memberi pulangan lumayan. Usah terlalu bandingkan pencapaian diri dengan orang lain namun dalam masa sama, cuba untuk berusaha lebih.

Namun perlu diingat, kerjaya adalah sesuatu pekerjaan yang dilakukan dengan minat bukannya faktor gaji semata-mata. Jika hanya bergantung kepada bayaran, anda mungkin tidak akan kekal dengan satu kerja dan terus mengejar hingga tua.

Sumber: myMetro