LONDON – Seorang biskop kanan Gereja England, mencadangkan bacaan ayat suci al-Quran diperdengarkan pada majlis pertabalan Putera Charles, sekiranya beliau diangkat sebagai pemerintah negara ini.
Bekas Biskop Oxford, Harries of Pentregarth berkata, langkah itu akan membolehkan penduduk Islam ‘rasa diterima’ di Britain, sekali gus membuatkan lebih banyak lapisan masyarakat termasuk bukan Islam menerima Putera Charles sebagai pemerintah baharu monarki di negara ini.
Beliau mencadangkan perkara itu ketika sesi perbahasan di Dewan Tinggi Parlimen.
Harries berkata, Gereja England perlu meneruskan peranan mempromosi keharmonian agama dalam kalangan masyarakat di negara ini.
Beliau berkata, tahun lalu, satu majlis sivik di Gereja Besar Bristol menyaksikan bacaan ayat suci al-Quran diperdengarkan pada acara permulaan satu majlis agama Kristian selepas mendapat persetujuan pihak berkuasa.
“Tindakan itu kreatif, sekali gus menjadikan penganut Islam rasa diterima dan pada masa sama tidak meminggirkan penganut Kristian,’’ katanya.
Sementara itu, pengkritik mengecam idea tersebut dan menuduh Gereja England hilang keyakinan ke atas institusi dan tradisi mereka. -Utusan