KEMAMAN – Pastikan kesahihan berita terlebih dahulu sebelum
menyebarkannya di laman sosial, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia,
Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.
Beliau berkata, tindakan menyebarkan berita-berita sensasi dan palsu
bagi tujuan mengejar populariti akan membawa implikasi dan menakutkan
orang ramai.
Beliau yang kesal dengan berita palsu termasuk mengenai banjir ketika
ini yang banyak tersebar di laman sosial termasuk aplikasi WhatsApp
berkata, orang ramai perlu ada sikap tanggungjawab dan perlu mengesahkan
berita itu sebelum memuat naik di laman sosial.
“Saya minta sangat sila buat pengesahan dan periksa kembali berita
yang diterima di laman sosial masa kini sebab banyak sangat berita palsu
hingga menakutkan orang ramai.
“Mereka ini jenis yang ambil kesempatan, mungkin untuk mendapatkan
‘Like’ yang lebih, mendapat ‘follower’ yang tinggi dalam blog dengan
menyebarkan berita-berita sensasi,” katanya di sini hari ini.
Ahmad Shabery mengulas penyebaran berita-berita palsu termasuk
pelepasan air empangan Tasik Kenyir yang kononnya akan menenggelamkan
Bandar Kuala Berang di Hulu Terengganu dan khidmat pesanan ringkas (SMS)
yang mendakwa darurat diisytiharkan di Kelantan kerana dilanda banjir
teruk.
Terdahulu, beliau melakukan tinjauan menerusi udara dengan helikopter
Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) bagi mengetahui keadaan semasa
banjir di Kemaman serta menghantar bekalan makanan ke dua kawasan
pedalaman iaitu FELDA Seberang Tayor dan Kampung Batu 14.
Berhubung khidmat telekomunikasi, beliau berkata pihak kementerian
mengambil perhatian serius dan memantau setiap masa aspek khidmat
telekomunikasi di seluruh negara terutama di kawasan dinaiki air.
“Kita sedar kerana talian telekomunikasi adalah penting terutama
apabila berlaku bencana (banjir) sebegini seperti dalam usaha menyelamat
dan menghantar bekalan ke kawasan yang terputus hubungan darat.
“Ada banyak tempat yang walaupun dinaiki air, namun setakat ini semua
talian telekomunikasi masih berfungsi di seluruh negara, cumanya ketika
ini kami dapati kawasan di Kuala Lipis, Temerloh (Pahang) dan Gua
Musang (Kelantan) sahaja dilaporkan terdapat gangguan berikutan
terputusnya bekalan elektrik,” katanya. – BERNAMA