PETALING JAYA – Pas sempadan untuk kegunaan rakyat Malaysia yang
berulang alik ke Thailand akan dilancarkan dalam format baru berbentuk
buku hari ini.
Pelancaran itu bakal disempurnakan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk
Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sempena sambutan Hari Imigresen 2014 di Ibu
Pejabat Jabatan Imigresen, Putrajaya.
Acara itu juga akan disertai Ketua Pengarah Imigresen yang baharu, Datuk Mustafa Ibrahim.
Mstar Online dalam laporan eksklusifnya pada Ogos lalu menyiarkan
tentang pengeluaran pas sempadan Malaysia-Thailand dalam bentuk buku
yang lebih berkualiti dan menyerupai pasport Malaysia, dijangka bermula
September.
Dokumen perjalanan terhad ini bagi kegunaan penduduk tempatan
khususnya di Kelantan, Kedah, Perlis dan Perak (hanya di bahagian Hulu
Perak).
Pas sempadan sebelum ini dikeluarkan dalam bentuk sekeping kertas, yang mudah rosak akibat dilipat atau terkena air.
Jika pasport Malaysia yang merupakan dokumen perjalanan antarabangsa
berwarna merah, pas sempadan baru ini pula akan berwarna biru.
Di kulit hadapan pas ini juga akan menyerupai seperti pasport,
mempunyai lambang Jata Negara dengan perkataan “Malaysia” selain
tertulis perkataan “Pas Sempadan” berwarna emas.
Mstar Online melaporkan bahawa penggunaan buku pas sempadan ini
bertujuan untuk mempertingkatkan kualiti dan ciri keselamatan dokumen
perjalanan sementara selain memudahkan pemeriksaan imigresen di pintu
masuk sempadan.
Pembaharuan pada pas sempadan baharu ini turut dilengkapi dengan muka
surat depannya mempunyai nombor bercirikan ‘Machine Readable Zone’
(MRZ) di mana ia tidak boleh dijadikan pendua (duplicate) untuk pemohon
lain.
Ciri MRZ digunakan oleh kebanyakan pasport antarabangsa untuk
pemeriksaan maklumat peribadi yang mengikut standard Pertubuhan
Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO).
Selain pelancaran buku pas sempadan, Hari Imigresen 2014 yang
disambut pada 1 Disember akan menyaksikan pelbagai aktiviti seperti hari
bertemu pelanggan, karnival kerjaya dan pameran oleh vendor-vendor yang
bekerjasama dengan Jabatan Imigresen.
Antara lain ialah persembahan pancaragam, kawad senyap termasuk
pertunjukan daripada Pasukan Kawalan Khas (PKK) dan Grup Taktikal Khas
(GTK) Imigresen. – mStar