KUANTAN - Pelantikan Christoph R Mueller sebagai Ketua Pegawai
Eksekutif (CEO) Malaysia Airlines Bhd (MAS) baharu, menunjukkan Khazanah
Nasional Bhd komited untuk memperkukuhkan kembali syarikat penerbangan
negara itu.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, kemampuan
Mueller memulihkan syarikat penerbangan Ireland yang bermasalah, Aer
Lingus dalam tempoh setahun, diyakini mampu melonjak kembali prestasi
MAS sebagai antara syarikat penerbangan terbaik dunia.
Sehubungan itu, katanya, tidak timbul soal MAS atau Khazanah Nasional
menafikan kebolehan anak tempatan menerajui syarikat penerbangan negara
itu.
"Memang kita ada ramai anak tempatan yang bersama dengan MAS,
sekarang kita hendak menstruktur semula MAS dan telah menggunakan
pelbagai cara sebelum ini (tetapi tidak berjaya).
"Tidak ada masalah
jika kita hendak melantik mana-mana orang yang berkebolehan, yang
penting kita perlu dapatkan hasil dan hasrat kita untuk melihat MAS
kembali menjadi sebuah syarikat penerbangan yang unggul menjadi
kenyataan," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Seminar
Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Baru Zon Pantai Timur di
Bukit Gambang Resort, di sini hari ini.
Pelantikan Mueller diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak
Jumaat lepas, sekali gus melenyapkan teka teki mengenai calon yang akan
dilantik untuk menerajui MAS melalui pelan pemulihan 12 perkara oleh
Khazanah.
Bagaimanapun langkah itu menimbulkan rasa kurang puas hati beberapa
pihak, termasuk SukaGuam yang mahukan rakyat tempatan diberi kepercayaan
itu. Liow berkata, kejayaan Mueller melakukan transformasi terhadap
syarikat penerbangan bermasalah tidak boleh dinafikan.
"Kita berharap Mueller mampu memulihkan MAS dan terus menjadi medium
terbaik untuk kita menjalinkan hubungan dengan negara lain di dunia,"
katanya.
Menteri itu turut menolak dakwaan yang menyatakan Akta MAS yang
diluluskan Parlimen 27 Nov lalu menafikan hak pekerja, termasuk untuk
membuat apa-apa tuntutan kepada MAS.
Katanya, walaupun seramai 6,000 pekerja diberhentikan, namun mereka
tidak dibuang secara mutlak, sebaliknya diberi latihan semula bagi
membolehkan mereka diserap ke dalam syarikat berkaitan kerajaan yang
lain. - BERNAMA