#DemiMAS: Khairul Azwan Boleh Belajar Urus Syarikat Penerbangan Dari Mueller...


Naib Ketua Pemuda UMNO, Khairul Azwan Harun, semalam dalam satu sidang media mendesak Khazanah Nasional Bhd untuk mengkaji semula pelantikan Christoph R Mueller sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) penerbangan MAS.

Katanya, Malaysia memiliki ramai lagi anak tempatan yang berkelayakan dan mampu menerajui syarikat penerbangan itu berbanding Mueller, tokoh industri penerbangan yang terbukti menyelamatkan beberapa syarikat penerbangan premium antarabangsa sebelum ini.

"Kita boleh ambil contoh anak watan seperti Datuk Seri Idris Jala dan beberapa tokoh lain yang berjaya membawa MAS menjadi antara syarikat penerbangan terbaik di dunia.

"Dengan ini jelas menunjukkan bahawa negara ini tidak ketandusan tokoh ataupun bakat untuk menerajui MAS," kata Naib Ketua Pemuda UMNO itu yang dipetik dari media.

Saya percaya, sebagai anak Malaysia, sudah tentu ramai di kalangan kita akan terpengaruh dan bersetuju dengan gesaan Khairul Azwan itu. 

Benar, siapalah di antara kita yang mahu syarikat kebanggaan negara itu diterajui warga asing. 

Namun benarkah anak tempatan mampu menyelamatkan "nyawa" MAS? Ada bukti? 

Khairul Azwan memberi contoh beberapa tokoh tempatan" lain yang kononnya "berjaya" menjadikan MAS antara syarikat penerbangan terbaik di dunia. 

Soalnya, benarkah dakwaan Khairul Azwan yang mengatakan beberapa tokoh tempatan sebelum ini telah berjaya meletakkan MAS sebagai sebuah syarikat penerbangan yang hebat?

Memang benar nama MAS hebat di persada dunia penerbangan. 

Namun bagaimana pula dengan kewangan syarikat itu? Apakah kedudukan kewangannya sehebat namanya?

Sekiranya dia berpandangan beberapa tokoh tempatan yang pernah mengemudi MAS itu "berjaya" menyelamatkan syarikat itu, maka penulis tidak sependapat dengan pandangan tersebut.

Pada hakikatnya, tokoh-tokoh tempatan sebelum ini hanya diiktiraf "berjaya" menjual aset-aset MAS sebelum ini dan tindakan tersebut dilihat sebagai "mundur" ke belakang di mana syarikat penerbangan itu kehilangan pelaburan yang bernilai tinggi. 

CEO MAS yang pertama, Tan Sri Aziz Abdul Rahman dan beberapa tokoh korporat lain pernah mengkritik tindakan tersebut.

Justeru itu, apakah tokoh-tokoh tempatan tersebut wajar dilabel sebagai "berjaya" menyelamatkan MAS?

Khairul Azwan merupakan ahli politik dan penulis yakin dia tidaklah sehebat tokoh-tokoh koporat dalam dunia perniagaan. Ahli politik, buatlah kerja politik. Hal perniagaan, biarlah ahli perniagaan yang buat. 

Apatah lagi syarikat seperti MAS memerlukan seorang tokoh korporat yang diyakini dan terbukti berkemampuan, bukan?

Dengan hanya tempoh setahun, Mueller berjaya mengembalikan keuntungan syarikat penerbangan Aer Lingus yang hampir “padam” pada tahun 2009, meskipun dibayangi saingan sengit dari syarikat penerbangan murah di Ireland, Ryanair, dalam pasaran Eropah.

Jadi, apakah perlu kita tolak seorang yang telah membuktikan kemampuannya seperti Mueller di saat MAS sedang “nazak”?  Jelas sekali keputusan yang dibuat Khazanah adalah bersandar kepada keputusan perniagaan dan bukannya mempolitikkan isu MAS seperti segelintir ahli politik.

Tidak salah untuk Khairul Azwan mengkritik Mueller mahupun Khazanah yang memilih tokoh penerbangan itu. Namun Mueller belum lagi "punch card" masuk kerja, Khairul Azwan tiba-tiba mengkritik pihak yang diharap mengembalikan maruah negara di serata dunia?

Setidak-tidaknya, berilah masa dalam tempoh 3 hingga 5 tahun untuk mereka bertungkus-lumus memulihkan MAS. Jika mereka gagal, bukan saja Khairul Azwan, penulis percaya ramai lagi pihak akan tampil mengkritik dan mungkin ketika Mueller sendiri meletak jawatan tanpa paksaan.

Lagipun, tidak salah jika kita lantik Mueller yang diyakini mampu memulihkan MAS. Anak-anak tempatan boleh belajar dan berkongsi pengalaman dengan tokoh industri penerbangan itu. 

Salahkah kita belajar dari warga asing? Orang Malaysia mula-mula belajar bahasa Inggeris dari orang Malaysia juga, kah? Ilmuan silam dulu sanggup merentas dunia menagih ilmu. Di zaman ini kita "import" ilmu masuk ke Malaysia sekaligus memulihkan syarikat penerbangan negara. 

Jadi, tidak mustahil nanti tampuk teraju MAS diberi kepada anak tempatan kembali selepas era Mueller nanti, bukan? Takkanlah Naib Ketua Pemuda UMNO tidak nampak masa depan tersebut? Tolonglah berpandangan jauh dan rasional sedikit. Boleh?