Seperti sedia maklum, salah sebuah syarikat milik kerajaan, 1Malaysia
Development Berhad (1MDB) kerap dihujani pelbagai spekulasi negatif
terutama daripada pihak pembangkang.
Lebih mengejutkan, hujung minggu lalu, Naib Ketua UMNO Batu Kawan,
Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan sendiri bertindak membuat laporan polis
terhadap pengurusan 1MDB.
Banyak pihak kemudiannya menuntut kerajaan agar lebih telus terhadap
hala tuju 1MDB dan menjawab kontroversi yang menyelubungi syarikat
tersebut.
Justeru, melalui satu kenyataan media yang dikeluarkan, 1MDB membuat
penjelasan terhadap segala tuduhan dan menjelaskan rasionalisasi
kewujudannya.
Terbitan Bon/ Hutang
Banyak kebimbangan disuarakan terhadap kadar faedah 5.75% yang
dikenakan terhadap bon Islamik bernilai RM5.0 bilion yang diterbitkan
pada 2009. Ramai menganggap, ia merupakan terbitan bon dengan kadar
faedah yang tinggi.
Secara melulu, pihak tersebut membuat perbandingan dengan sebuah lagi
syarikat berkaitan kerajaan, Petronas, yang mengenakan kadar faedah
sebanyak 3.60% untuk bon pada masa yang sama.
Menurut 1MDB, ini merupakan satu perbandingan yang tidak adil kerana tidak mengambil kira beberapa faktor penting.
Menurutnya, apabila membeli sesuatu bon, pemberi pinjaman akan
mengambil risiko pada kadar tertentu. Lebih lama tempoh pegangan, maka
lebih tinggi risiko buat pemegang. Oleh yang demikian, bon-bon yang
mempunyai tempoh matang yang lebih panjang biasanya mempunyai kadar
faedah lebih tinggi.
Kenyataan tersebut juga menjelaskan, satu-satunya bon berkaitan
Petronas yang dikeluarkan pada 2009 yang membawa kadar kupon 3.60%
adalah bon pada nilai RM100 juta dengan tempoh pegangan hanya tiga
tahun.
Justeru, dengan perbezaan tempoh matang yang jauh, ia bukanlah
sesuatu yang mengejutkan jika bon yang diterbitkan 1MDB memiliki kadar
faedah lebih tinggi.
Secara generalnya, bon yang dikeluarkan 1MDB pada 2009 merupakan bon
pertama Malaysia dengan tempoh pegangan selama 30 tahun, dan merupakan
bon Islamik pertama yang dikeluarkan dengan tempoh matang sepanjang itu.
Selain itu, 1MDB juga menafikan tuduhan sebahagian dari kadar faeadah
tersebut dibayar kepada ‘orang tengah’. Jelasnya, keseluruhan 5.75%
kadar faedah tersebut dibayar kepada pemegang bon, dua kali setahun.
Terdapat juga spekulasi yang ditimbulkan terhadap komisen dan fi yang
ditanggung 1MDB untuk terbitan dua hutang tambahan pada 2012 dan 2013
pada nilai US$1.75 bilion dan US$3 bilion.
Menurut 1MDB, bon-bon tersebut dikeluarkan pada kadar diskaun yang
biasa bagi tawaran-tawaran bon. Sebarang perbezaan antara nilai tara
(par value) dan perolehan bersih sebuah bon tidak hanya meliputi bayaran
dan perbelanjaan lain, tapi juga hasil efektifnya (effective yield)
yang turut mengambil kira diskaun dan baki tempoh pegangan bon.
Jelasnya lagi, sejumlah besar perbezaan antara nilai tara (par value)
bon tersebut dan perolehan bersih adalah berkaitan dengan bon
dikeluarkan pada kadar diskaun.
Keputusan tersebut diambil untuk memastikan kelangsungan kejayaan
pengumpulan dana atas faktor dalaman dan luaran pasaran, kepantasan
perlaksanaan tawaran dan skala penaja jaminan (underwriting).
Kedua-dua terbitan hutang dijamin penuh oleh sebuah bank pelaburan
terkemuka, Goldman Sachs. Ia merupakan salah satu daripada jumlah kecil
bank yang memiliki kemampuan untuk menjamin terbitan hutang sebesar itu.
Berkaitan transaksi yang dinyatakan di atas, 1MDB turut memandang
serius sindiran semberono yang mengatakan Goldman Sachs mungkin membuat
bayaran pada pihak ketiga, lantas menolak andaian tersebut.
Goldman Sachs telah menyatakan, “Selain daripada firma
perundangan dan perakaunan yang menyediakan khidmat profesional, tiada
fi atau komisen dibayar oleh 1MDB atau Goldman Sachs kepada pihak luar
ketiga berkaitan dengan transaksi-transaksi ini, dan kami tidak pernah
diarahkan oleh 1MDB atau sesiapa pun untuk membuat sebarang bayaran atau
komisen.”
Kadar Hutang
Jelas 1MDB, seperti juga syarikat besar lain, ia juga menjana modal
melalui pasaran hutang antarabangsa untuk membiayai projek-projek
tertentu.
Keseluruhan hutang tersebut disokong dengan kekukuhan aset (RM44.67
bilion pada tahun kewangan berakhir Mac 2013), menjangkaui jumlah hutang
keseluruhan (RM37 bilion dalam tempoh sama).
1MDB juga menjelaskan, syarikat itu tidak pernah terlepas membuat
pembayaran mengikut jadual. Selain itu, penyenaraian aset tenaga adalah
salah satu usaha yang dirancang bagi mengurangkan jumlah hutangnya.
Bukan itu sahaja, 1MDB juga memajukan perniagaan hartanah dengan
projek-projek seperti TRX dan Bandar Malaysia. Sejak tahun lalu,
beberapa perjanjian dimeterai bersama syarikat-syarikat terkemuka, juga
institusi seperti Lend Lease bagi membawa aliran masuk dana ke Malaysia.
Terlebih Bayar Untuk Aset
Terdapat beberapa dakwaan berkaitan jumlah yang dibayar 1MDB untuk
aset-aset tenaga, antaranya berkisar tentang nilai yang dikaitkan kepada
aset-aset itu pada masa ia dibeli.
Namun demikian, ketika membuat penilaian, 1MDB memandang prospek yang
lebih ke hadapan dan mengambil kira sinergi yang lebih luas di samping
impak sosial serta ekonomi kepada negara.
1MDB telah menerima dakwaan bahawa ia telah membayar lebih untuk
beberapa keping tanah di Pulau Pinang yang terletak di Bandar Air Itam.
Saiz tanah yang dibeli mampu memuatkan 10,000 rumah mampu milik dan akan
menggunakan beberapa keping tanah besar untuk tujuan pembangunan dan
mengharapkan ia mampu menjana nilai yang tinggi.
Lantas, syarikat tersebut yakin ia merupakan satu pelaburan yang berbaloi dengan harga yang dibayar.
Layanan Istimewa Untuk Tender Projek Janakuasa
Awal tahun ini, konsortium bersama yang dianggotai 1MDB dan Mitsui
& Co telah mengambil bahagian dalam proses bidaan tender terbuka
untuk sebuah loji janakuasa arang batu berkapasiti 2,000MW yang dikenali
sebagai Projek 3B.
Setelah selesai proses pertimbangan, Suruhanjaya Tenaga mengumumkan
konsortium tersebut dipilih. Lantas, muncul cakap-cakap belakang bahawa
1MDB menerima layanan istimewa, dan bidaan mereka tidak sebaik bidaan
dari syarikat lain.
Lantas, jelasnya, sebarang penganugerahan adalah berdasarkan kepada
beberapa pertimbangan, antaranya standard teknikal bidaan itu, rekod
prestasi syarikat, harga tawaran, keperluan perlaksanaan projek dengan
segera dan jaminan tenaga serta kos keseluruhan.
Suruhanjaya Tenaga juga mengumumkan, bidaan tersebut juga diberi
kepada Konsortium 1MDB – Mitsui secara adil dan saksama dengan teknologi
yang terbukti meningkatkan jaminan bekalan tenaga seperti yang
dijangkakan daripada stesen janakuasa arang batu berkapasiti 2,000MW.
Bagi membuktikan hujah itu, 1MDB juga mendedahkan projek yang gagal
untuk diraih mereka dalam proses bidaan seperti logi gas Prai dan loji
arang batu berkapasiti 1,000MW.
Ujarnya, ia dimenangi TNB yang berjaya menawarkan pakej lebih baik
walaupun 1MDB menawarkan harga bidaan terendah untuk tender Prai.
Pembiayaan Projek 3B
Jelas 1MDB, konsortium mereka hanya membayar kira-kira RM8 juta,
separuh dari jumlah yang dibayar pembida lain untuk menyedia dan
menghantar bidaan tersebut bagi projek 3B.
Ia juga menafikan membelanjakan US$100 juta untuk mendapatkan projek
tersebut. Sebaik mendapat tender tersebut, konsortium mereka bergerak ke
peringkat pembangunan bagi membolehkan stesen janakuasa tersebut
beroperasi pada 2018.
Kos pembangunan atau fi pembangunan adalah apa yang dibayar kepada
penaja projek untuk kerja pembangunan yang dilakukan penaja bagi
merealisasikan projek tersebut, bermula dari proses bida hinggalah ia
beroperasi. Ia bukanlah kos pembayaran balik.
Bagi membiayai projek industri tenaga, kos pembangunan biasanya
terletak antara 5% hingga 8%. Kos pembangunan oleh konsortium bersama
itu adalah 5.5%, iaitu pada kadar yang rendah.
Dalam kenyataan tersebut juga, 1MDB menafikan tuduhan bahawa pemegang
bon 3B mereka akan menanggung risiko tersembunyi kerana bon tersebut
didatangkan dengan jaminan bank bagi memastikan komitmen promoter dalam
suntikan ekuiti.
Maka, keselamatan aliran wang tunai dan pulangan kepada pemegang bon tersebut terjamin.