Dipukul Suami, Tiada Tempat Mengadu? LAWA Sedia Bantu!


KUALA LUMPUR - Persatuan Wanita MCA menubuhkan pusat sehenti Pusat Khidmat Guaman dan Bantuan Wanita 1Malaysia atau Legal Aid and Women’s Advisory Centre (LAWA) untuk membantu wanita yang menderita akibat jenayah keganasan rumah tangga.

Sebanyak 205 cawangan pusat LAWA akan dibina di seluruh negara, iaitu 13 pusat di peringkat negeri dan 192 di peringkat bahagian bagi memastikan bantuan yang diberi dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh rakyat Malaysia.

Menurut Ketua Wanita MCA Nasional, Datuk Heng Seai Kie, LAWA ditubuhkan bertujuan membantu mangsa-mangsa wanita yang teraniaya dan kurang upaya agar bebas daripada permasalahan dalaman yang selama ini membelenggu mereka.

“Diharap penubuhan LAWA membantu mangsa membebaskan diri daripada penderitaan akibat jenayah keganasan, memulihkan keyakinan diri serta untuk mereka memulakan kehidupan baru dengan menjadi lebih berdikari.

“Demi meningkatkan keberkesanan dan kecekapan operasi LAWA, sejumlah 410 penyelaras daripada Wanita MCA dan 50 sukarelawan terdiri daripada mahasiswa jurusan perundangan dari universiti tempatan serta 10 peguam wanita bertauliah telah dilantik untuk tujuan penyelenggaraan,” katanya.

Sebagai permulaan, dua skop iaitu kes kekeluargaan dan perkahwinan termasuk nafkah serta hak penjagaan anak dan juga kes keganasan rumah tangga (domestic violence) akan diberi perhatian utama oleh pusat sehenti ini.

Majlis pelancaran LAWA dirasmikan isteri Perdana Menteri, Datin Paduka Seri Rosmah Mansur di Auditorium Wisma MCA, di sini, hari ini. Turut menghadiri majis adalah Pengerusi Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia, Tan Sri Dr. Ng Yen Yen.

Rosmah dalam ucapannya berkata, LAWA adalah satu usaha murni yang diharap dapat membantu para wanita terutamanya dalam aspek perundangan dan khidmat nasihat berkaitan keganasan.

“LAWA merupakan yang pertama seumpamanya ditubuhkan di Malaysia, di mana ianya mengabungkan bukan sahaja pusat khidmat kaunseling, tetapi juga nasihat oleh pakar-pakar dalam bidang perundangan.

“Bagi memastikan khidmat guaman undang-undang Syariah dan Sivil serta perkhidmatan bimbingan dan kaunseling yang terbaik disediakan.

"Pusat LAWA turut dapat kerjasama daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bantuan Guaman, Jabatan Perdana Menteri, Majlis Peguam Malaysia (Bar Council), Kementerian Kesihatan Malaysia, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta Persatuan Kaunseling Malaysia,” ujar Rosmah.

Pada majlis hari ini, satu sambutan turut diadakan sebagai selingan bagi meraikan ulangtahun kelahiran ke-63 tahun Rosmah yang jatuh pada tanggal 10 Disember lalu.

Mengikut statistik PDRM, kebanyakan keganasan terhadap wanita yang direkodkan adalah keganasan domestik dan penderaan seksual.

Sehingga April tahun ini sahaja sebanyak 1,353 kes keganasan terhadap wanita telah direkodkan oleh PDRM, namun dipercayai terdapat banyak lagi kes-kes seumpamanya kerana kebanyakan mangsa malu dan takut untuk melaporkannya kepada pihak berkuasa.















Sumber: Mynewshub.cc