JAKARTA – Tragedi pesawat AirAsia Indonesia QZ8501 hilang ketika
dalam penerbangan dari Surabaya ke Singapura semalam turut mendapat
perhatian persatuan dukun tempatan profesional apabila mereka hari ini
menawarkan diri untuk mencari kapal terbang itu.
Ketua Perdukunan dan Adat Belitung, Mukhti Maarif ketika dihubungi akhbar berpengaruh, Tempo
di sini berkata, ekoran lokasi terakhir pesawat jenis Airbus A320 itu
hilang terletak di pulau tersebut, mereka bersedia membantu untuk
mencari kapal terbang berkenaan.
“Kita siap siaga menolong bersama-sama dengan pihak berkuasa
Indonesia yang guna teknologi canggih. Insya Allah posisi pesawat memang
diketahui masih dalam wilayah Belitung, baik darat, laut mahu pun
udara, dipenuhi hal ghaib,” jelas beliau.
Mukhti namun menjelaskan, para dukun di pulau seluas 4,800 kilometer
persegi itu cuma menunggu permintaan secara rasmi dari pemerintah
khasnya Badan Search And Rescue Nasional (Basarnas) di Jakarta yang juga
agensi penyelaras kecemasan Indonesia.
Badan yang ditubuhkan sejak 1972 itu bertanggungjawab dalam menyelia
segala kerja menyelamat mangsa bencana di seluruh Indonesia dan Basarnas
biasanya hanya membuat permintaan rasmi kepada dukun tempatan bagi
mengelak pandangan serong masyarakat.
Mukhti mengatakan, pencarian secara ghaib mungkin belum dianggap
penyelesaian tepat untuk menemui semula pesawat Air Asia itu kerana
persepsi masyarakat masih curiga kesahihan kaedah tradisional kecuali
untuk berubat akibat ‘buatan’ orang tertentu.
“Hasil pemantauan kami setakat ini mendapati bangkai QZ8501 berada di
perairan timur Pulau Nangka, Kabupaten Belitung Timur dan buat saat ini
posisi pesawat itu masih di dalam laut dekat kawasan dipenuhi terumbu
karang di perairan tersebut,” ujar Mukhti.
Belitung yang dihuni masyarakat Melayu dikenali sebagai Billitton
sejak 1812 ketika zaman penjajahan Inggeris dan kemudian Belanda, secara
kebetulan mendapat namanya sempena sejenis siput laut dalam dialek
tempatan yang banyak di sekitar pulau berkenaan.
Kumpulan dukun profesional tempatan itu percaya, pesawat malang
tersebut terhempas akibat kerosakan mesin di dalam kapal terbang tetapi
punca kejadian belum lagi dipastikan sama ada kerana faktor cuaca buruk
atau kelemahan juruterbang sendiri. – Agensi