Ramai rakyat Malaysia berasa terganggu apabila Naib Presiden Amerika
Syarikat, Joe Biden cuba menjaga ‘tepi kain’ tanah air kita dengan
luahan kebimbangannya terhadap penggunaan Akta Hasutan di negara ini,
selain cuba ‘mengajar’ mahkamah kita cara menangani rayuan terakhir kes
liwat membabitkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Tambah memburukkan keadaan, Duta AS ke Malaysia Joseph Y. Yun turut
meluahkan ‘kehairanannya’ tehadap keputusan Perdana Menteri Datuk Seri
Najib Tun Abd Razak mengekalkan Akta Hasutan (1948), ketika ditemu bual
portal Malaysiakini.
Susulan itu, Wisma Putra mengarahkan Joseph Yun hadir ke kementerian hari ini, untuk menjelaskan kritikan yang dikeluarkan itu.
Menteri Luar Negeri Dato’ Sri Anifah Aman menerusi kenyataan media,
turut meluahkan kekesalan atas komen tersebut memandangkan Akta Hasutan
1948 di negara ini tidak bermaksud menghalang proses demokrasi,
sebaliknya dikekalkan untuk mencegah mana-mana pihak melakukan perbuatan
berunsur hasutan yang boleh mencetuskan ketegangan agama dan kaum,
sekaligus membahayakan perpaduan rakyat.
Anifah berkata, Kerajaan AS sepatutnya tidak campur tangan dan
menghormati urusan dalaman Malaysia yang sudah tentu lebih maklum cara
terbaik mengekalkan demokrasi, keamanan dan kestabilannya.
Kenyataan media hari ini turut mengingatkan semua pihak, keputusan
tentang Akta Hasutan 1948 adalah urusan dalaman Malaysia. Meskipun ia
mencetus minat banyak pihak luar untuk mengikuti perkembangannya;
sebarang komen tidak wajar yang dikeluarkan samalah maksudnya dengan
cubaan campur tangan urusan dalaman negara lain.
Sesungguhnya Kerajaan Malaysia sudah pasti lebih maklum dan komited
mahu mengekalkan keamanan, stabiliti dan keharmonian yang dikecapi
negara yang punyai penduduk berbilang bangsa, agama dan budaya ini.
Justeru negara ini tidak mengharapkan tunjuk ajar daripada pihak luar cara untuk menangani urusan dalamannya.
Sumber: Mynewshub.cc