Generasi Muda Masih Minat Seni Ukiran Kayu Tradisi?

Ukiran kayu tradisi
Seni ukiran kayu tradisional Melayu adalah antara khazanah tidak ternilai harganya yang masih wujud sehingga hari ini.

Ukiran ini, yang banyak digunakan di istana, wakaf, perdola, serta rumah-rumah tradisional, masih menjadi tumpuan ramai setiap kali mata memandang.

Malahan mereka yang terlibat dalam industri ini juga terdiri daripada mereka yang mempunyai kepakaran tinggi serta melalui proses pembelajaran yang lama.

PENGALAMAN DALAM SENI UKIRAN KAYU

Seorang daripada pengusaha seni ukiran kayu, Mohd Nor Zaini, 35, mempunyai minat yang mendalam terhadap ukiran kayu hingga membawa beliau ke bidang ini dengan mempunyai sebuah bengkel kayu yang terletak di Batu Pahat, Johor.

Ketika ditemui penulis sewaktu mengikuti lawatan Media bersama Kraftangan ke Johor, Mohd Nor yang mula menceburkan diri dalam bidang ini sekitar tahun 2000, memulakan langkah dengan memasuki Institut Kemahiran Mara, Lumut, Perak selama 18 bulan dalam bidang Industri Perkayuan Perabot.


Setelah itu, beliau bekerja dengan sebuah syarikat yang membuat kapal mewah persendirian berasaskan kayu jati Burma selama lapan bulan sebelum melanjutkan pelajaran dalam bidang Seni Kraf Ukiran Kayu selama tiga tahun.

Mohd Nor kemudian menambah pengalaman sedia ada dengan bekerja di bengkel kayu sekitar Muar dan mengumpul modal bagi membeli mesin-mesin yang digunakan untuk melakukan kerja ukiran.

"Saya cuba kumpul wang untuk beli mesin, sambil itu buat apa-apa kerja yang mendatangkan hasil, setelah mesin saya hampir cukup saya mulakan operasi akhir 2006," katanya.

Beliau berkata mesin pertama yang dibelinya ketika memulakan perniagaan ialah mesin pemotong bunga ukiran, kemudian baharulah menambah mesin seperti "jointer", ketam kayu, potong kayu, larik, belah dan tanggam.

"Setelah semuanya lengkap saya mulakan kerja yang lebih besar seperti buat pondok wakaf, mimbar masjid, perdola, balkoni rumah, anjung rumah. Pendapatan sekarang dapat lebih setelah mesin cukup," katanya.

MEMARTABATKAN SENI UKIRAN MELAYU

Minat Mohd Nor dalam industri ini disebabkan keinginan dan semangatnya untuk memartabatkan seni ukiran Melayu.

Beliau berkata keunikan yang ada dan tahap kesenian yang tinggi yang terdapat dalam ukiran kayu terdahulu seperti bunga ketumbit, bunga bakawali adalah amat menarik.


Melalui industri ini, beliau dapat mengetengahkan lagi ukiran pada zaman dahulu yang melambangkan kemewahan dan unsur kemelayuan yang terdapat di istana Melayu lama.

Begitu juga dengan seorang lagi penggiat industri ini, Badrul Hisyam Mohamad, 39, yang menganggap seni ukiran kayu sebagai tempat beliau mencurahkan ideanya yang penuh dengan seni.

Menurut Badrul Hisyam lagi, beliau mahu melihat seni ini terus wujud, dan mempunyai kesinambungan yang jelas.

CABARAN PENGGIAT INDUSTRI KAYU TRADISIONAL

Cabaran utama yang dihadapi penggiat industri ini ialah bahan mentah. Harga bahan mentah terutama kayu cengal sekarang begitu tinggi.

Ini menyebabkan mereka terpaksa menggunakan kayu gred B seperti Kempas, Kapur, Mersawa, Meranti dan Seraya.

Bagi Badrul Hisyam, harga kayu cengal yang sering digunakan untuk kerja-kerja ukiran pada masa sekarang boleh mencecah RM10,000 hingga RM12,000 setan. Manakala Merbau RM8,000 setan dan Balau RM7,000 hingga RM8,000 setan.

Beliau, yang seawal usia 20-an sudah menjelajah hingga ke Indonesia, Thailand dan Burma banyak mencari pengalaman dan melihat hasil seni dari negara berkenaan, berkata untuk mencari kayu-kayu lama juga susah kerana bekalannya yang semakin berkurangan.

Kekurangan pekerja mahir dalam kalangan anak muda turut menjadi antara cabaran yang dihadapi Badrul Hisyam, yang turut mempunyai sebuah bengkel kayu di Pontian, Johor dengan 10 pekerja.

Namun beliau masih terpaksa mengguna khidmat pekerja dari Indonesia memandangkan tidak ramai anak muda tempatan yang berminat menceburi bidang ini. - BERNAMA