SELEPAS melalui beberapa episod kontroversi berhubung filem The
Interview, akhirnya pihak Sony Pictures akur untuk membatalkan
penayangan filem tersebut.
Pembatalan dibuat selepas kebanyakan pawagam seluruh dunia enggan
mengambil risiko menayangkan filem yang menyentuh sensitiviti pemimpin
Korea Utara, Kim Jong-Un.
Keputusan juga diambil selepas penggodam berjaya melakukan serangan
secara siber terhadap laman web Sony, yang mana mereka menghantar amaran
melarang pawagam daripada menyiarkan filem tersebut.
Sehubungan itu, majlis tayangan perdana The Interview yang
dijadualkan berlangsung di New York, baru-baru ini turut dibatalkan oleh
pihak penerbitnya.
Menurut salah seorang wakil Sony, mereka berasa sangat sedih dan
kecewa dengan perbuatan penggodam yang mahu menghalang penayangan The
Interview kepada pihak umum.
“Disebabkan kebanyakan pengedar filem menarik balik niat menayangkan
filem ini, kami mengambil keputusan untuk membatalkan penayangan The
Interview yang sepatutnya menjengah pawagam bermula 25 Disember ini.
“Kami menghormati dan memahami keputusan mereka, yang mana
keselamatan pekerja serta pengunjung pawagam jadi keutamaan syarikat,”
katanya.
The Interview mengisahkan dua wartawan penyiaran, dilakonkan Seth
Rogen dan James Franco yang perlu bekerjasama dengan pihak Central
Intelligence Agency (CIA) untuk membunuh Kim Jong-Un.
Sumber: Mynewshub.cc