Dalam prosiding di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Selasa, bekas
Ahli Parlimen Batu Pahat, Datuk Seri Puad Zarkashi berkata, Datuk Seri
Anwar Ibrahim pernah mengajaknya menyertai Pakatan Rakyat (PR).
Menurut portal The Malaysian Insider, pujukan tersebut berlaku empat
hari selepas tarikh 16 September 2008 yang diulang-ulang pihak
pembangkang sebagai ‘tarikh keramat’ dalam pertukaran tampuk kerajaan
persekutuan.
Puad yang menjadi saksi pembela Datuk Seri Anifah Aman dalam kes
saman Anwar terhadap Menteri Luar itu berkata, dalam perbualan telefon
bersama ketua pembangkang tersebut, Anwar memberitahu, peristiwa ’16
September’ pasti akan berlaku kerana PR telah memiliki bilangan yang
cukup, cuma memerlukan seorang lagi ahli parlimen Melayu dari Johor,
sepertinya.
Ujar beliau, “Plaintif (Anwar) juga menyatakan dengan nada
yang meyakinkan 4 sultan bersetuju dan menyatakan sokongan kepada PR
untuk mengambil alih tampuk pemerintahan kerajaan Persekutuan. Antara
negeri yang disebut ialah Perlis, Perak, Terengganu dan Selangor.”
Selain itu, Anwar juga berjanji kepadanya bahawa agenda Melayu akan dilindungi sekiranya beliau menjadi perdana menteri.
Walau bagaimanapun, Puad berkata, dia gementar dengan pujukan Anwar
itu kerana khuatir dengan kemurkaan sultan. Ujarnya lagi, dia kemudian
meminta izin plaintif untuk pulang ke rumah dan melakukan solat
istikharah lantas perbualan mereka terhenti setakat itu.
Panggilan terhadap Anwar dibuat melalui wakilnya, Dr Abdul Rahim
Ghouse pada 20 September 2008, jam 2 pagi ketika Puad dan Rahim bertemu
di Batu Pahat.
Jelasnya, Rahim juga turut cuba meyakinkannya untuk menyertai PR, dan
memberi jaminan tentang rancangan 16 September akan berlaku dalam
beberapa minggu, atau sekitar 25 September.
“Saya menceritakan kepada Rahim apa yang plaintif beritahu
saya. Rahim cakap dengan saya, “Kalau BN tumbang, siapa akan menjaga
Johor?”
Nmun demikian, selepas pulang dari pertemuan tersebut, Puad bermimpi
yang sekiranya dia menandatangani surat menyokong Anwar, ia bermakna dia
sanggup menggadai negaranya.
“Saya dihubungi Rahim sekitar tengahari pada hari tersebut
dan memberitahu beliau, ‘You tell Anwar, tumbang, tumbanglah, I am
prepared to be the opposition but I will not sign the letter (saya
bersedia menjadi pembangkang tetapi tidak akan menandatangani surat itu).”
Dalam prosiding sama juga, Puad mendedahkan, sebelum 16 September,
beliau pernah didekati oleh Setiausaha Agung PRK, Datuk Saifuddin
Nasution Ismail semasa program ‘lawatan sambil belajar’ ke Taiwan
anjuran Kelab Penyokong BN bersama 30 ahli parlimen BN yang lain.
Tujuan sebenar program tersebut dianjurkan ialah untuk mengelak
daripada percubaan ahli parlimen pembangkang daripada berhubung dengan
ahli Parlimen BN.
“Pada ketika itu, sesiapa yang tidak mengikuti program
tersebut ke Taiwan, mereka akan menjadi suspek atau disyaki akan
melompat parti. Kami berangkat ke Taiwan beberapa hari sebelum tarikh 16
September 2008.
Semasa berada di Taiwan, saya dihubungi Saifuddin Nasution
melalui talian telefon di bilik hotel penginapan saya di Taiwan sekitar
jam 2 pagi dan menyatakan beliau juga berada di Taiwan bersama Tian Chua
dan Fuziah Salleh.
Mereka juga menginap di hotel yang sama kami menginap di Taiwan.”
Puad menambah, Saifuddin dan rakan-rakannya dapat menghidu kehadiran
mereka di situ setelah mendapat informasi dari seorang ahli parlimen
Taiwan.
Namun, beliau menolak untuk bertemu Saifuddin ketika itu walaupun
Saifuddin mendakwa telah bertemu dengan ahli parlimen BN seperti Datuk
Seri Abdul Ghapur Salleh, Datuk Mohd Nasir Ibrahim Fikri dan Datuk
Richard Riot.
Ahli parlimen BN kemudiannya bertolak ke Macau kerana mengelak untuk
terus diganggu pihak pembangkang, sebelum mereka pulang ke tanahair pada
18 September setelah hasrat PR mengambil alih tampuk kerajaan gagal.
Dalam prosiding tersebut, Anwar mengemukakan saman fitnah sebanyak
RM100 juta terhadap Anifah setelah didakwa mengeluarkan kata-kata fitnah
pada sidang akhbar di Washington bersama Hillary Clinton.
Sumber: Mynewshub.cc