KUCHING – Harga minyak dunia dijangka terus turun sehingga Januari
depan berdasarkan trend penurunan dalam tempoh minggu pertama Disember
ini, kata Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan.
Beliau berkata, maklumat yang diperoleh menunjukkan purata harga
mingguan minyak dunia menurun dan memungkinkan bahan api jenis RON97,
RON95 dan diesel di negara ini diruncitkan pada harga yang lebih rendah.
“Mengikut trend seminggu ini, RON95 akan turun lagi, RON97 akan turun
lagi, diesel mungkin akan turun lagi daripada RM2.23 sekarang,” katanya
selepas memberi taklimat berhubung Bajet 2015 di sini, Isnin.
Katanya,
rakyat sepatutnya telah memperoleh manfaat daripada kejatuhan harga
minyak jika komuniti perniagaan mengambil langkah susulan untuk
menurunkan harga barangan keperluan.
“Rakyat di luar sana menanti. (Apabila harga) minyak naik (komuniti
peniaga) terus naik (harga barangan). (Apabila) minyak turun, (harga
barangan) tak turun turun (lagi),” katanya.
Ahmad berkata, penurunan harga RON97 telah menyebabkan peningkatan permintaan yang mendadak terhadap minyak itu di negara ini.
Bagaimanapun, katanya, setakat ini, tiada bukti menunjukkan wujud
pihak tertentu yang cuba membeli minyak tersebut dalam jumlah yang
banyak untuk tujuan disimpan dan dijual semula sekiranya harga meningkat
pada masa depan.
Menurutnya berikutan pengumuman penurunan harga minyak itu pada 1
Disember lepas, permintaan untuk petrol RON97 di negara ini telah
meningkat sebanyak lima kali ganda.
Sementara itu, Ahmad berkata, sehingga hari ini, sebanyak 188,596
buah syarikat di seluruh negara telah mendaftar dengan Jabatan Kastam
Diraja Malaysia untuk Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).
Berdasarkan jumlah purata harian syarikat yang mendaftar, katanya
beliau yakin jumlah keseluruhan pendaftaran untuk tahun ini akan
mengatasi jumlah sasaran 220,000 buah syarikat yang ditetapkan sebelum
ini. – BERNAMA