Hooligans: PBNJ Haramkan IJF Masuk Stadium?

KUALA LUMPUR – Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ) mengharamkan kumpulan penyokong bola sepak Inter Johor Firms (IJF) daripada memasuki Stadium Larkin di Johor berkuat kuasa serta merta.

Presidennya dalam satu kenyataan memberitahu, kumpulan penyokong itu juga diharamkan daripada memasuki mana-mana stadium lain membabitkan perlawanan pasukan dari Johor.

PBNJ bagaimanapun menafikan keputusan itu berikutan kekecohan yang berlaku antara penyokong Malaysia dengan Vietnam di Stadium Shah Alam, Selangor semalam, sebaliknya menentang ideologi hooligan.

“PBNJ dengan kerjasama pihak Polis DiRaja Malaysia (PDRM) telah mendapat perkenan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim untuk menghalang kegiatan kumpulan pelampau yang mencemar imej negeri Johor.

“Pihak yang bertanggungawab memberi imej buruk dan memalukan negeri Johor akan ditangani dengan segera kerana kumpulan pelampau seperti ini tidak diiktiraf sebagai warga Johor. 

"Orang-orang seperti ini yang telah memberi nama buruk perlu dikutuk sekeras-kerasnya oleh sekalian rakyat Johor,” kata kenyataan itu hari ini.

Menurut kenyataan itu, PBNJ mengambil keputusan itu bukan kerana kejadian yang berlaku di Stadium Shah Alam semalam tetapi kerana Tunku Mahkota Johor merangkap Presiden PBNJ mengutuk sekeras-kerasnya mana mana organisasi yang mengamalkan ideologi hooligan. 
 
 
 
 
Sumber: Mynewshub.my