Hudud Ada Untung Rugi? Siapa Ajar Lim Kit Siang?

Penulis tidak tahu sejak bila Penasihat DAP, Lim Kit Siang menyertai Barisan Nasional (BN) sehingga tergamak mendakwa parti yang membentuk kerajaan itu tidak mendapat sebarang untung dari perlaksanaan hukum hudud.

Malah penulis juga tidak tahu sejak bila Kit Siang memeluk agama Islam sehingga dia tergamak mengeluarkan kenyataan tentang sesuatu yang berhubung kepentingan dan hal ehwal undang-undang Islam di Malaysia.

Kit Siang dalam kenyataan terbarunya mengenai usaha melaksanakan hudud di Kelantan mendakwa tiada pihak yang akan meraih keuntungan, sama ada BN mahupun Pakatan Rakyat melalui pelaksanaan hudud di Kelantan seperti yang cuba dilakukan kerajaan PAS di negeri itu.

Lim berkata PR tidak akan bertahan apabila ada parti komponennya bertindak di luar kerjasama mereka termasuk kesepakatan bersama pembangkang berkenaan.

"Kita tidak boleh menipu mengatakan PR mencapai persetujuan dengan PAS dan DAP 'bersetuju untuk tidak bersetuju' berkenaan isu hudud, dan membenarkan PAS meneruskan hudud di Parlimen secara bersendirian....Tiada perjanjian sedemikian.

"Ia tidak memberikan faedah kepada Pakatan Rakyat dan BN," katanya membidas PAS sekaligus membayangkan Pakatan Rakyat akan berpecah sekiranya hudud tetap dilaksanakan di Kelantan.

Siapa Kit Siang untuk berbicara tentang BN? Siapa Kit Siang untuk menetapkan sama ada BN meraih keuntungan atau tidak dari perlaksanaan hudud?

Kit Siang harus tahu bahawa perlaksanaan hukum hudud bukanlah suatu perkara yang berorientasikan keuntungan ekonomi mahupun politik. Dia bukan beragama Islam dan apa yang dia tahu tentang kepentingan melaksanakan hukum Allah di bumi "Tanah Melayu" ini?

Sepatutnya Kit Siang yang jelas bukan Islam perlu menghormati hak dan keistimewaan umat Melayu Muslim di Malaysia di mana Melayu dan Islam diberi hak serta keutamaan yang tidak boleh dipertikai menurut perlembagaan.

Yang digubal bukannya undang-undang sivil, undang-undang Kristian, Buddha atau Hindu. Yang digubal adalah undang-undang Syariah yang melibatkan kepentingan umat dan agama Islam di Malaysia. Apa hak Kit Siang untuk campur tangan dalam urusan undang-undang Islam?

Untuk pengetahuan Kit Siang dan golongan bukan Islam di Malaysia, perlaksanaan hudud mendatangkan keuntungan dan rahmat kepada seluruh umat Islam di Malaysia, khususnya di Kelantan yang bakal dilaksanakan hukum tersebut.

Undang-undang yang diturunkan Allah SWT itu relevan dan ampuh untuk dilaksanakan sepanjang zaman, serta bersifat syumul sekiranya dikaji, diteliti dan dilaksanakan mengikut acuan yang disepakati mengikut lunas yang sepatutnya.

Hudud bukan undang-undang PAS mahupun UMNO. Ia adalah undang-undang Islam yang terbukti adil dan berkesan. Ia hanya dikaji, diteliti serta dilaksanakan oleh manusia mengikut ketetapan Allah SWT dan Rasulullah SAW.

Justeru itu, penulis berpandangan agar PAS mahupun UMNO mengambil pendekatan "mempersetan" segala kenyataan "syaitan-syaitan" yang cuba menggagalkan usaha melaksanakan salah satu dari cabang hukum Allah itu di Malaysia.

Usah dipedulikan kerana mereka merupakan "golongan yang tidak tahu", manakala kita yang tahu tentang keagungan hukum-hakam Allah itu perlu meneruskan usaha murni itu supaya umat Islam di negara ini dapat manfaat dari perlaksaan tersebut. Wallahu'alam. -Amir Hamzah/UtaraNews.com