Hudud: PKR Enggan Buka Mulut

SHAH ALAM - Mesyuarat Biro Politik PKR mengenai pelaksanaan hukum Hudud telah diadakan semalam dan bukannya hari ini seperti mana yang dikatakan oleh Naib Presidennya, Nurul Izzah Anwar, semalam.

Perkara itu telah disahkan sendiri oleh Setiausaha Agungnya, Rafizi Ramli yang menjelaskan bahawa mesyuarat itu dilakukan secara dalaman.

"Mesyuarat Biro Politik PKR telah diadakan semalam untuk membincangkan isu Hudud.

"Kami tidak akan mengeluarkan kenyataan berkenaan kerana ia perbincangan tertutup," katanya melalui aplikasi Whatsapp, hari ini.

Rafizi yang juga Naib Presiden PKR berkata demikian mengulas mesyuarat biro itu yang dibuat di kediaman rasmi Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali pada 3 petang tadi.

Perkara itu dimaklumkan Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar semalam yang mengatakan Biro Politik parti itu akan mengadakan mesyuarat pada 3 petang tadi di kediaman rasmi Menteri Besar Selangor.

Bagaimanapun, tinjauan Sinar Online pada 2.30 petang tadi mendapati suasana di luar pekarangan kediaman itu lenggang daripada kehadiran kenderaan milik pemimpin parti itu.

Malah penyelia kediaman rasmi Menteri Besar itu yang ditemui juga memberitahu Sinar Online bahawa mesyuarat tersebut tidak diadakan pada hari ini. -Sinar Harian