#Hudud: “Setuju Untuk Tidak Bersetuju” Di Peringkat Perlaksanaan


Tidak tahulah apa maksud Ketua Penerangan PAS, Datuk Mahfuz Omar, yang menyatakan hudud tidak akan memecah-belahkan Pakatan Rakyat, namun dari sudut bunyinya seolah dia cuba sedaya upaya untuk “cover line”.


Pesuruhjaya PAS Kedah itu mendakwa DAP dan partinya telah mencapai kata sepakat dalam satu konsensus sebagai “bersetuju untuk tidak bersetuju” berhubung perlaksanaan hudud yang diperjuangkan PAS.

Memang benar. Secara jujurnya di atas kertas, konsensus “setuju untuk tidak bersetuju” di antara DAP dan PAS berkenaan hudud sememangnya telah disepakati.

Namun, ketika konsensus tersebut disimpulkan, ia hanya bersifat “di atas kertas” dan PAS sendiri pun belum mempunyai sebarang draf atau usaha yang lebih serius yang menjurus ke arah perlaksanaan hukum tersebut.

Berbeza pula kali ini, apabila terma “setuju untuk tidak bersetuju” itu berada di peringkat perlaksanaan, maka sudah tentu akan berlaku pergaduhan besar di antara parti yang bersetuju dan parti yang tidak bersetuju.

Serius atau tidak, sama ada berpecah atau tidak, Exco DAP di Selangor, Datuk Teng Chang Kim secara terbuka menghalau PAS keluar dari Pakatan Rakyat. Itu faktanya.

Itulah yang dikatakan “tidak bersetuju” di dalam terma “bersetuju untuk tidak bersetuju” apabila tiba masa di peringkat perlaksanaan dasar.

Dihalau seperti “anjing kurap”, seolah PAS tiada harga atau nilai di mata DAP, apakah itu tidak menunjukkan tanda pepecahan di dalam Pakatan Rakyat?

Apakah Mahfuz sanggup memikul tanggungjawab membiarkan PAS dihina hingga sebegitu rupa oleh parti sekutu mereka yang tidak pandai menghormati urusan hal ehwal dan kepentingan Islam di Malaysia?

Malah, Timbalan Mursyidul Am PAS sendiri, Datuk Dr. Haron Din Al-Hafiz menegaskan baru-baru ini bahawa tindakan kurang ajar DAP terhadap perlaksaan hudud dan menyerang PAS tanpa henti turut menunjukkan tanda “koyak”nya “kertas” tahaluf siyasi parti tersebut di dalam Pakatan Rakyat?

Apa lagi yang cuba disembunyi atau dinafikan Mahfuz? Sudah terang lagi bersuluh? Sudah jelas dan terang kesungguhan PAS melaksanakan hudud bakal memecah-belahkan Pakatan Rakyat, masih lagi Mahfuz cuba menafikan?

PAS kini mempunyai dua pilihan sahaja pada pandangan saya.

Pertama, sekiranya parti itu sayangkan Islam, maka jemaah mereka perlu istiqamah bersama UMNO dalam usaha perlaksaan hudud dan mereka perlu meninggalkan Pakatan Rakyat sekiranya DAP yang terkenal dengan “chauvinis ultra kiasu” itu terus menafikan hak dan kepentingan Islam.

Kedua, sekiranya PAS sayangkan DAP dan PKR, maka parti itu boleh terus bergabung di dalam Pakatan Rakyat dan seterusnya melupakan perlaksaan hudud yang menjadi tradisi perjuangan asal parti tersebut.

Terserahlah pada kebijaksaan PAS untuk memilih pendirian mereka berhubung perkara ini. Saya hanya mampu mengucapkan “selamat maju jaya”. Wallahu’alam. -Mykmu.net