Sama ada suka atau
tidak, Timbalan Mursyidul Am PAS, Datuk Dr. Haron Din Al-Hafiz
menegaskan bahawa serangan demi serangan yang dilancarkan DAP terhadap
partinya telah merobek dan mencacatkan tahaluf siyasi antara PAS dengan
Pakatan Rakyat.
Katanya, sekiranya DAP berterusan menyerang PAS berhubung usaha
perlaksanaan hudud di Kelantan, adalah tidak mustahil tindakan tersebut
bakal mengoyak “kertas tahaluf siyasi” partinya dengan gabungan parti
pembangkang tersebut.
“Apa yang dibuat DAP telah mencacat dan mencarik-robek tahaluf.
“Kalau terus-menerus demikian, maka DAP yang mengoyak kertas tahaluf
kerana Pas tidak pernah mempertikai asas perjuangan DAP,” katanya yang
dipetik dari media arus perdana.
Mengulas lanjut mengenai hubungan yang semakin meruncing antara PAS
dengan DAP, Haron menjelaskan bahawa perlaksaan hudud merupakan salah
satu dasar utama PAS dan partinya tidak akan berganjak dari perjuangan
melaksanakan hukum Allah itu.
Justeru itu katanya, Ketua Menteri yang kini “merajai” Pulau Pinang itu
boleh memilih jalan sendiri sekiranya tidak setuju dengan pendekatan PAS
yang mahu melaksanakan hukum berkenaan di negara ini.
“Pas tidak terbelenggu oleh komen lawan mahupun kawan. Hudud nyawa Pas dan ini perjuangan asas yang tidak pernah lekang.
“Jika Guan Eng merasakan tidak selesa, maka carilah jalannya sendiri
untuk keselesaan kerana hudud tetap diteruskan (di Kelantan),” katanya.
Begitulah kedudukan terkini hubungan antara PAS dan DAP setelah Guan Eng menuduh PAS mengkhianati Pakatan Rakyat kerana usaha parti itu dengan UMNO berhubung perlaksanaan hukum hudud di Kelantan.
Timbalan Mursyidul Am PAS itu nampaknya benar-benar marah dan
tersinggung dengan tindakan DAP yang mempertikai hak umat Islam dalam
menentukan hukum-hakam Allah di bumi Malaysia.
Meskipun begitu, seandainya PAS menganggap pendirian DAP untuk tidak
setuju dengan perlaksanaan hudud itu sebagai sesuatu yang menghalang
tahaluf siyasi, mengapa PAS setuju bergabung juga di dalam Pakatan
Rakyat?
Soal hudud bukan soal baru bagi PAS mahu pun DAP. PAS sendiri tahu DAP
secara tradisinya menentang keras perlaksanaan hudud. Sejak awal PAS
mahu melaksanakan hudud, sejak itulah DAP menentang. Umumnya semua orang
tahu DAP serius berkenaan hal itu.
Seriusnya pendirian DAP menentang hudud pernah dibayangkan oleh
Pengerusi DAP, mendiang Karpal Singh yang pernah menegaskan bahawa PAS
perlu melangkah mayatnya terlebih dahulu sebelum melaksanakan hudud.
Justeru itu, PAS sebetulnya dari awal lagi tahu DAP memang tidak dapat menerima hudud sama sekali.
Jadi, mengapa pula PAS bertindak “bijak pandai” sangat sanggup
bertahaluf siyasi dengan DAP dan PKR? Sudah tahu ada najis di depan
mata, mengapa terlalu “bijak pandai” sangat pijak najis tersebut?
Sekarang sudah terhantuk baru tengadah? Sudah diketuk, baru nak tuding jari sana dan sini?
Kini nasi sudah menjadi bubur. Namun, bak kata pepatah orang Melayu
juga, “sesat di hujung jalan, kembalilah ke pangkal jalan”, bukan? Buang
yang keruh, ambil yang jernih.
Bermuhasabahlah diri. PAS sepatutnya keluar dari “kelompok najis”. Buat
apa bergelumang “najis” semata-mata kerana gilakan undi yang
menjahanamkan Islam? Khuatir pula “kerusi emas” itu tidak berkat di sisi
Allah SWT.
PAS sebetulnya mampu berdiri sendiri. Sudah berdekad parti itu berdikari
sendirian sebagai pembangkang yang sihat. Lainlah kalau PAS sendiri
tidak lagi yakin mampu berdiri di atas kaki sendiri, kan? Teruslah duduk
di bawah ketiak DAP dan PKR…
Sumber: Mykmu.net