Gambar Hiasan |
HULU TERENGGANU – Seorang ibu tunggal yang sedang bekerja di pekan
Kuala Berang tekad mengharungi banjir dengan berjalan kaki sejauh dua
kilometer untuk pulang di Kampung Batu 23 di sini apabila dimaklumkan
rumahnya dilanda banjir malam tadi.
Siti Halimah Salleh, 44, yang bekerja di kedai dobi berkata dia
terpaksa meredah arus banjir paras lutut selepas dimaklumkan oleh anak
lelaki tunggalnya yang berumur 21 tahun bahawa rumah mereka mula dinaiki
air 11 malam tadi.
“Ketika itu saya berada di tempat kerja di pekan Kuala Berang dan
anak menelefon saya untuk pulang segera ke rumah kerana paras air naik
semakin tinggi di rumah kami,” katanya ketika ditemui pemberita di pusat
pemindahan mangsa banjir di Batu 23 di Kuala Berang, di sini hari ini.
Katanya sebaik sahaja sampai di kawasan rumah dia mendapati arus air
terlalu deras dan keadaan menjadi huru-hara apabila orang ramai cuba
menyelamatkan harta benda masing-masing.
Menurutnya paras air naik dengan cepat sehingga rumahnya separuh
tenggelam dan dia dan anaknya tidak sempat menyelamatkan beberapa
dokumen penting dan perkakasan rumah.
Tinjauan Bernama di sekitar lokasi kejadian hari ini mendapati jalan
yang menghubung Kampung Batu 23 ke pekan Kuala Berang terputus hubungan
dan ditutup kepada semua kenderaan.
Sebanyak 122 mangsa banjir daripada 34 keluarga di Kampung Batu 23 kini ditempatkan di pusat pemindahan itu. – BERNAMA