IM4U "Bersih"kan Taman Rimba Di Alor Setar

ALOR SETAR - Pusat rekreasi dan riadah Taman Jubli Perak, dekat sini, sememangnya cukup dikenali sebagai lokasi tumpuan keluarga bersantai pada hujung minggu.

Bagaimanapun, taman yang turut dikenali Taman Rimba berkenaan didakwa kelihatan suram terutamanya ketika beriadah sendirian pada waktu senja.

Melalui gotong-royong sempena Sambutan Sukarelawan Antarabangsa iM4U Volunteer Malaysia 2014, kelmarin, taman rekreasi berkenaan kini berwajah baharu dan lebih menarik.

Wakil urusetia, Rokeman Ramli berkata, pihak sukarelawan melakukan gotong-royong membersihkan persekitaran taman rekreasi tersebut termasuk kemudahan asas di situ.

“Kami mengecat semula kemudahan di taman itu, antaranya buaian dan papan gelongsor.

“Malah, sukarelawan bertungkus-lumus menanam aneka pokok hiasan bagi mencantikkan landskap taman, sekali gus melestarikan alam sekitar,” katanya.

Katanya, aktiviti bergotong-royong sebegini  bukan hanya mampu mengindahkan kawasan persekitaran, malah dilihat menggalakkan amalan gaya hidup sihat.

Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Kedah,  Mohammad Nazer Mustafa, aktiviti kesukarelawan sedemikian secara tidak langsung memutihkan taman rekreasi ini.

“Apabila semak dibersihkan, mana-mana kawasan terpencil yang dikhuatiri berpotensi menjadi lokasi penagihan dadah dapat dihapuskan,” katanya.

Menurutnya, langkah menceriakan lokasi tumpuan berkenaan tidak hanya menarik kehadiran masyarakat tempatan, malah mencegah gejala kurang sihat.

Terdahulu, kira-kira 900 sukarelawan terdiri daripada kakitangan kerajaan, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan pelajar universiti turut serta dalam aktiviti senamrobik.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan beberapa pasangan kekasih mengambil kesempatan berkelakuan tidak senonoh di sebalik pokok besar kerana faktor taman rekreasi sunyi. -Sinar Harian