Imbasan 2014: 8 Lagenda Industri Hiburan Tanahair Meninggalkan Kita... Al-Fatihah #Welcome2015


Di mana kan ku cari ganti, serupa denganmu...” Itu antara bait lagu alunan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee yang menggambarkan kehilangan seseorang yang tidak dapat dicari ganti.

Ya, sudah tersurat, yang datang pastinya akan pergi. Sepanjang tahun 2014, beberapa nama seniman telah pergi meninggalkan kita. Dunia hiburan turut berkongsi rasa sedih terhadap kehilangan bintang-bintang seni tersebut.

arwah-ali-mamak

1. Datuk Ali Mamak

Pelakon, pelawak dan penyanyi, Datuk Ali Mamak atau nama sebenarnya Osman Jantan telah meninggal dunia pada pukul 4.20 pagi hari Khamis, 27 Mac lalu.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) berpunca dari penyakit kanser tahap kedua.

Beliau telah dilahirkan di Kampung Pulau, Masjid Tanah, Melaka dan mula berkecimpung dalam industri seni selama 25 tahun dan telah dianugerahkan Darjah Seri Melaka (DSM) oleh Kerajaan Negeri Melaka pada tahun 2008 lantas membawa gelaran Datuk.

Jenazah Allahyarham telah dibawa pulang ke rumah keluarganya di Dusun Tua, Batu 16, Hulu Langat lalu dikebumikan selepas Zuhur ada tarikh sama.

SidekHussain

2. Sidek Hussein

Pelakon berkaliber ini telah pergi menghadap Ilahi pada tarikh 28 April 2014, pada usianya 63 tahun.
Allahyarham telah meninggal dunia pada pukul 11.55 malam di Hospital Kuala Lumpur akibat penyakit barah leher.

Ketumbuhan di lehernya telah muncul semenjak beliau berusia 20-an. Selain dari itu, beliau turut mempunyai penyakit jantung dan paru-paru yang menyukarkannya untuk melakukan pembedahan membuang ketumbuhan tersebut.

Allahyarham terkenal dengan watak antagonis dalam kebanyakan drama yang dilakonkannya. Pada tahun 2011, beliau menerima Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat di FFM-24 serta Pelakon Pembantu Terbaik di Anugerah Skrin.

Jenazah Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Kluang, Selangor pada 29 April.

kartina-dahari

3. Kartina Dahari

Pada usia 73 tahun, penyanyi popular keroncong, Kartina Dahari telah menghembuskan nafas terakhirnya pada tanggal 30 April lalu akibat penyakit barah payudara.

Allahyarham merupakan penyanyi Melayu pertama yang berjaya merakamkan album Inggersi di Singapura.

Beliau meninggalkan tiga orang anak, masing-masing berumur lingkungan 41 sehingga 51 tahun. Jenazahnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Jalan Lim Chu Kang, Singapura.

Ketika hayatnya, Allahyarham terkenal dengan lagu seperti ‘Sayang Di Sayang’ dan lagu duet bersama Allahyarham Datuk Ahmad Jais iaitu ‘Budi Setahun Jagung’ dan ‘Sejak Kita Berpisah’.

ff7b0fcb407b954ad1438e76b9db2b4b

4. Adam Ahmad

Penyanyi yang juga komposer, Adam Ahmad telah menghembuskan nafas terakhir di Hospital Ampang pada 15 Mei pada usia 50 tahun akibat komplikasi dari pelbagai masalah termasuk jangkitan kuman pada paru-paru.

Allahyarham popular sekitar tahun 80-an dengan lagu nyanyian dan ciptaannya seperti ‘Kau Pergi Jua’ dan ‘Berdiri Seorang Perindu’. Lagu ciptaannya, ‘Janji Manismu’ yang dinyanyikan penyanyi Aishah pernah memenangi pertanding Muzik-Muzik.

Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Pusara Permai Ampang pada 15 Mei.

azizsattar6514e

5. Datuk Aziz Sattar

Pelakon popular ini telah meninggal dunia pada 6 Mei pada usia 89 tahun akibat penyakit jantung di Hospital Kajang pada jam 2 pagi.

Datuk Aziz Sattar telah dilahirkan di Surabaya, Indonesia, merupakan sahabat baik kepada Allahyarham Tan Sri P Ramlee dan Allahyarham S Shamsuddin dan mereka bertiga popular menerusi lakonan bersama dalam Bujang Lapok, Pendekar Bujang Lapok dan Seniman Bujang Lapok.

Antara filem yang pernah diarahkan beliau adalah Si Badol, Prebet Lapok, Penyamun Tarbus, Setinggan dan Tujuh Biang Keladi. Nama-nama popular dunia komedi seperti AR Badul dan Mr Os telah lahir dari filem arahan Allahyarham.

Jenazah dikebumikan selepas Zuhur di Tanah Perkuburan Islam Cheras.

ARTIS KOSMO

6. Datuk Sharifah Aini

Biduanita negara ini telah meninggal dunia pada tanggal 5 Julai pada usia 61 tahun di Pusat Perubatan Pakar Damansara akibat fibrosis paru-paru.

Beliau yang meninggalkan seorang anak, Aliff Omar telah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara.

Mengimas kembali sejarahnya, Allahyarham mula dikenali setelah menjuarai Pertandingan Bintang RTS 1968 di Singapura dengan lagu ‘Tiga Malam’. Dia kemudiannya disunting menjadi artis EMI dan bertahan dengan label tersebut selama 38 tahun.

Beliau mencipta rekod kerana berjaya merakamkan sejumlah 93 album termasuk 7 album Inggeris. Antara lagu ‘evergreen’ beliau adalah ‘Seri Sewi Malam’, ‘Hapuslah Air Matamu’ dan ‘Bunga Tanjung’.

Nama beliau tercatat dalam The Malaysia Book Of Records sebagai penyanyi paling lama dengan sesebuah syarikat rakaman dan memiliki 135 album.

0706280048271pakjamil

7. Datuk Jamil Sulong

Suami kepada Seniwati Datin Rosnani Jamil ini meninggal dunia pada 25 September lalu akibat serangan angin ahmar (strok).

Beliau merupakan anak Melayu ketiga yang diberi kepercayaan mengarahkan filem di Malay Film Productions, selepas Allahyarham Tan Sri P Ramlee dan Haji Mahadi.

Filem pertamanya, Batu Belah Batu Bertangkup dihasilkan pada tahun 1957diikuti dengan filem klasik Si Tanggang dan Lela Manja.

Allahyarham merupakan pengarah Melayu kedua yang banyak mengarahkan filem dan banyak menerima anugerah dari luar negara.

Antara filem lain yang popular yang mendapat sentuhannya adalah Bidasari, Raja Bersiong, Gerak Kilat, Jiwa Remaja, Sayang Anakku Sayang, Jasmin dan Ranjau Sepanjang Jalan.

Jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Janda Baik, Pahang.

taparof

8. Datuk Mustapha Maarof

Allahyarham Datuk Mustapha Maarof telah menghembuskan nafas terakhir pada 15 Disember lalu pada usia 79 tahun.

Beliau meninggal dunia di Hospital Tentera Tuanku Mizan, Wangsa Maju kira-kira jam 8.50 pagi akibat jangkitan paru-paru.

Beliau yang juga suami kepada Allahyarham Seniwati Roseyatimah dikenali dengan filem-filem hebat seperti Hang Tuah, Bawang Putih Bawang Merah, Seri Mersing dan Sultan Mmahmud Mangkat Dijulang.

Beliau memulakan kerjaya seninya pada tahun 1953, dan menikahi pelakon Roseyatimah pada 1957. Walau bagaimanapun, Roseyatimah meninggal dunia pada tahun 1987.

Allahyarham merupakan anak kepada peguam Melayu, Maarof Zakaria yang merupakan pengasas Bank Kebangsaan Melayu pada tahun 1947 dan nama Jalan Maarof diambil bersempena nama bapanya itu.

Jenazahnya dikebumikan selepas Zuhur berdekatan pusara isterinya di Tanah Perkuburan Islam Jalan Ampang, Kuala Lumpur.