Kami tertanya-tanya, apakah ini merupakan pekerjaan paling bahaya di dunia? Mungkin ya, mungkin tidak.
Namun bayangkan, demi mencari sesuap nasi, pekerja di Samphran Elephant
Ground & Zoo sanggup membahayakan nyawa mereka demi untuk menarik
perhatian pelancong yang mengunjungi zoo yang terletak di kota Bangkok itu.
Difahamkan, para pekerja di zoo tersebut mengambil risiko nyawa bagi menghiburkan penonton dengan meletakkan tangan atau kepala dalam mulut buaya yang sedang ternganga luas.
Mereka terpaksa melupakan perasaan takut dan menahan gementar berhadapan dengan binatang buas itu demi memuaskan
hati pelancong yang masuk ke situ dengan bayaran kira-kira RM54 bagi seorang dewasa.
Dalam satu adegan, seorang pekerja lelaki dengan berani memasukkan kepalanya dalam mulut buaya dalam tempoh beberapa saat sebelum menarik keluar kepalanya kembali.
Ketika kepalanya "selamat" keluar dari mulut buaya itu, jelas kelihatan tanda lega pada raut wajahnya dipercayai kerana mengenangkan buaya itu tidak bertindak membaham kepalanya sebentar tadi.
Difahamkan, pertunjukan beraksi bersama buaya yang diadakan sekerap dua kali sehari itu telah dijalankan sejak zoo berkenaan dibuka pada sekitar tahun 1985 dengan keluasan 60 hektar.
Selain menyaksikan persembahan dari kakitangan zoo tersebut, pelancong juga
berpeluang menunggang gajah dan bergambar dengan beberapa spesis haiwan yang lain. -KedahNews.com