ANGGOTA keselamatan Israel berada berdekatan roket yang didakwa serangan dari Gaza ke selatan Israel, semalam. - Foto Reuters |
BAITULMAQDIS – Tentera Israel berkata pihaknya melancarkan serangan
udara ke atas kumpulan Hamas di Semenanjung Gaza, serangan pertama dan
terbaharu ke atas wilayah Palestin itu sejak konflik selama 50 hari,
Ogos lalu.
Serangan udara pada awal pagi tadi itu mensasarkan apa yang dikatakan
tentera Israel sebagai lokasi prasarana yang digunakan oleh militan
Hamas di selatan Semenanjung Gaza.
Israel mendakwa serangan itu susulan serangan roket dari Gaza ke selatan Israel, semalam.
Bagaimanapun tiada kecederaan dilaporkan dalam serangan roket berkenaan.
Penduduk dilaporkan berkata mereka mendengar dua letupan di Wilayah
Khan Yunis di Gaza, yang mensasarkan tempat latihan untuk pejuang
Palestin.
Tiada laporan segera mengenai kecederaan dalam serangan itu.
Sementara itu, jurucakap Kementerian Kesihatan Gaza berkata, setakat
ini tiada penduduk yang cedera dalam serangan pertama Israel ke atas
Palestin sejak gencatan senjata pada 26 Ogos lalu yang diusahakan Mesir
bagi menamatkan perang selama 50 hari antara kedua-dua pihak.
Konflik selama 50 itu menyebabkan lebih 2,140 penduduk Palestin dan
73 penduduk Israel yang kebanyakannya anggota tentera, terbunuh. –
AP/AFP