Pelakon kontroversi, Sharnaaz Ahmad, menganggap isu penyebaran gambarnya bersama menolak troli
yang terisi beberapa tin arak seolah perkara remeh dan dianggap sebagai gosip yang
membosankan dirinya.
Kejadian itu dikatakan berlaku di sebuah pasaraya di Jepun ketika dia sedang membeli-belah bersama artis dan juga blogger, Hanis Zalikha, serta
seorang lagi pelakon drama, Mimi Lana.
Kata Sharnaaz atau nama sebenar Sharnaaz Basir Ahmad, 29, isu itu
sengaja diada-adakan seolah-olah ingin mencari kesalahannya.
“Banyak isu lain yang boleh dibuat. Kesalahan orang kalau cari memang seronokkan?
“Tetapi pernah tak kita melihat kesalahan pada diri sendiri? Ini membosankan..,” katanya yang dipetik dari mStar.
Dalam gambar itu, troli yang dibawa mereka dilihat terisi dengan
pelbagai makanan dan minuman tetapi troli yang dilihat seperti milik
Sharnaaz turut mengandungi beberapa tin arak jenama terkenal di Jepun.
Sharnaaz yang kini muncul dalam drama Suamiku Encik Sotong berkata,
gosip itu langsung tidak menjejaskan dirinya memandangkan isu itu
ditimbulkan oleh masyarakat luar.
“Perkara itu, orang yang bercakap. Bukan saya. Jadi saya tidak hairan pun. Saya lebih pentingkan kerja daripada perkara itu,” kata pelakon itu lagi.
Sharnaaz kini sedang berada di Okinawa, Jepun bagi
menjalani penggambaran drama Ku Tinggalkan Cinta Di Okinawa bersama
aktres Hanis Zalikha dan Mimi Lana yang bakal ditayangkan di saluran Astro Mustika. -KedahNews.com