Isu "Suruh Buka Tudung": Hamley's Mohon Maaf, Ambil Tindakan Disiplin


Tidak menunggu lama, syarikat permainan kanak-kanak terkemuka, Hamley's, memohon maaf secara terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia, khususnya umat Islam, atas satu insiden melibatkan anak gadis pengarah dan pelakon terkenal, Datuk Rosyam Noor. 

Dalam kenyataan permohonan maaf itu juga, pihak pengurusan syarikat itu telah melakukan siasatan terperinci dan mengambil tindakan disiplin terhadap salah seorang pekerjanya yang dikatakan "memandai-mandai" dalam urusan pengambilan pekerja di syarikat tersebut.

Menurut penjelasan pengurusan Hamley's Malaysia, pekerja terbabit merupakan seorang pekerja baharu dan tidak mempunyai kuasa untuk menemuduga atau mengambil kakitangan di syarikat berkenaan.

Pekerja itu juga katanya telah memberi maklumat yang salah kepada anak gadis Rosyam yang dilaporkan telah memohon kerja di syarikat itu baru-baru ini.


Rosyam Noor baru-baru ini "mengamuk" di laman sosial Twitter mendakwa anaknya dipaksa membuka tudung sekiranya mahu diambil bekerja di gedung Hamley's yang beroperasi di kompleks membeli belah, One Utama.

"Hero" Malaya dalam industri hiburan tanahair itu turut menggesa agar umat Islam memboikot outlet syarikat tersebut yang dikatakan mengamalkan diskriminasi terhadap wanita Islam yang bertudung berdasarkan pengalaman anak gadisnya baru-baru ini.

Bagaimanapun, syarikat itu menafikan dakwaan tersebut dan mengalu-alukan mana-mana individu yang ingin bekerja untuk datang membuat permohonan kerja disyarikat terbabit, tanpa mengira kira bangsa atau agama.

Berikut adalah kenyataan penuh Hamley's Malaysia. -KedahNews.com